Jumaat, 16 Disember 2016

Pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Osaka -- PHM turut senarai Mirnawan, Roslan

ARKIB : 28/02/2000
PERSEKUTUAN Hoki Malaysia (PHM) seperti dijangka mengekalkan 16 pemain skuad hoki Piala Sultan Azlan Shah yang berakhir kelmarin dan menyenaraikan semula Mirnawan Nawawi dan Roslan Jamaluddin untuk mengisi posisi penyerang dan penjaga gol menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Osaka, Jepun bulan depan.

Mirnawan dan Roslan tidak dapat menyertai kejohanan tujuh negara itu kerana cedera sehari sebelum kejohanan berlangsung.

Senarai terakhir itu juga bermakna dua pemain skuad remaja iaitu Norazlan Rahim dan penjaga gol, Izuan Suhardi Selamat yang menimba pengalaman pada kejohanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu terpaksa dicicirkan untuk memastikan skuad negara benar-benar mampu menggalas harapan negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Kehadiran semula Mirnawan sudah pasti menambah bisa barisan serangan Malaysia yang terpaksa bergantung harapan kepada Chairil Anwar Aziz, penyerang muda Suhaimi Ibrahim dan M. Kaliswaran pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah kali ini.

Chairil yang kali pertama beraksi bersama skuad kebangsaan sejak September tahun lalu berjaya membuktikan prestasinya telah pulih di samping Suhaimi yang muncul sebagai Pemain Terbaik kejohanan kali ke-10 itu.

Pemain berusia 27 tahun itu sebelum itu tercicir dari skuad yang mengadakan perlawanan ujian dengan Jepun di Osaka bulan lalu akibat kecederaan tumit.

Begitupun, kehilangan Mirnawan pada kejohanan itu begitu dirasakan apabila banyak peluang keemasan untuk menjaringkan gol terlepas begitu sahaja.

Suhaimi, 20, menjaringkan lima gol pada kejohanan tersebut dengan tiga daripadanya dihasilkan ketika menumpaskan Kanada turut mengakui akan kelebihan yang ada pada Mirnawan.

''Dia masih penyerang terbaik negara dan saya perlu menimba ilmu daripadanya,'' kata anak jati Gemencheh, Negeri Sembilan itu.

Katanya, pengalaman ternyata memihak kepada Mirnawan kerana pemain berusia 28 tahun itu dengan 248 cap antarabangsa bijak mencari peluang untuk mendapatkan pukulan sudut penalti.

Sepanjang tujuh perlawanan kejohanan kali ini, Malaysia hanya memperoleh 25 pukulan sudut penalti dan enam berjaya disempurnakan.

Pada pusingan kelayakan di Osaka, Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Pakistan, Sepanyol (naib juara Olimpik 1994), Argentina, Belarus dan Switzerland.

Kumpulan A pula membariskan Korea Selatan (juara Piala Asia), Belgium, Britain, Jepun, New Zealand dan Poland.

Hanya enam pasukan terbaik dari pusingan kelayakan mendapat tiket ke Olimpik Sydney, September ini untuk menyertai Belanda (penyandang juara), Jerman, (juara Eropah), Kanada (juara Pan Amerika), India (juara Asia) dan Australia (tuan rumah) yang mendapat kelayakan automatik.

Afrika Selatan yang muncul juara benua Afrika telah menyatakan menarik diri dari Sukan Olimpik awal bulan ini.

SENARAI PEMAIN:
Penjaga gol - Roslan Jamaluddin, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim.

Pertahanan - Maninderjit Singh, S. Kuhan, K. Gobinathan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Tengah - Calvin Fernandez, Chua Boon Huat, Shaiful Azli Abd. Rahman, K. Keevan Raj, M. Jiwa, Norazlan Rahim.

Penyerang - Mirnawan Nawawi (ketua pasukan), M. Kaliswaran, Suhaimi Ibrahim, Chairil Anwar Aziz, Mohd. Syarim Uda Karim dan K. Logan Raj.

Pengurus: R. Yogeswaran.

Jurulatih: Stephen Van Huizen, Yahya Atan.

Fisioterapi: Sandran Arumugam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SzBfIx7e © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan