Sabtu, 17 Disember 2016

Tuan rumah seri 3-3 dengan Belgium -- Malaysia uji Jepun

ARKIB : 17/03/2000
JEPUN melepaskan peluang memungut tiga mata apabila seri 3-3 dengan Belgium semalam, seterusnya menempah pertemuan dengan Malaysia pada persaingan play-off di Stadium Hoki Nagai, Osaka, esok.

Pasukan tuan rumah yang turun dengan hasrat mencipta kemenangan pada perlawanan terakhir kumpulan, dikejutkan dengan jaringan seawal minit pertama permainan oleh Alexandre de Chaffoy.

Tujuh minit kemudian, Joeri Beunen menjadikan kedudukan 2-0 untuk Belgium apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti, sebelum ketua pasukan Jepun, Akira Takahashi mendekatkan jurang pada minit ke-18.

Bagaimanapun, Eric Vander Gracht berjaya menambah jaringan buat Belgium dengan merembat masuk bola untuk menewaskan penjaga gol Jepun, Jun Takahashi pada minit ke-28 dan kedudukan 3-1 itu kekal sehingga tamat masa pertama.

Pada babak kedua, barisan serangan Jepun terus mengasak dan memperoleh dua jaringan menerusi Kenichi Katayama pada minit ke-64 dan 66 untuk sekurang-kurangnya memastikan satu mata buat pasukan itu.

Jepun yang mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri kini menduduki tangga ketiga kumpulan A dan akan menentang Malaysia, pasukan di tangga keempat kumpulan B pada pertemuan play-off esok sebagai penentuan ke Olimpik.

Pengurus pasukan Jepun, Yuji Nagai yang agak kecewa dengan keputusan seri itu menyifatkan kecemerlangan barisan pertahanan Belgium sebagai faktor menyukarkan usaha pasukan itu memburu gol.

''Rancangan kami gagal dilaksanakan oleh barisan serangan kerana kekentalan pertahanan Belgium. Mereka pantas membalas serangan dan berjaya mendahului permainan.

''Ia mengejutkan kami pada awalnya, tetapi nasib baik dapat mengikat kedudukan seri. Pemain kami juga sukar bergerak kerana dikawal kemas pihak lawan,'' katanya.

Mengenai pertemuan dengan Malaysia, Yuji berkata, mereka masih berpeluang ke Olimpik jika berjaya menyekat Malaysia daripada mendapatkan pukulan sudut penalti.

''Malaysia handal dalam melakukan pukulan sudut penalti selain barisan pertahanan yang mantap. Jika kami boleh membolosinya maka peluang menjaringkan gol pastinya cerah. Saya yakin kami berpeluang,'' ujarnya. - Daripada SAADON JAAFAR Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6pXaVJI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan