Rabu, 21 Disember 2016

Malaysia ke separuh akhir

ARKIB : 11/05/2000
MALAYSIA melengkapkan kuota empat pasukan ke separuh akhir Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia selepas mengalahkan Pakistan 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Skuad negara memberi aksi terbaik pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu untuk menafikan hasrat Pakistan dalam perebutan status naib juara kumpulan.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Malaysia hanya setapak lagi untuk meneruskan cabaran pada Kejohanan Piala Remaja Dunia di Hobart, Australia, Mei tahun depan.

Pada perlawanan semalam, Malaysia mendahului 2-1 di babak pertama menerusi jaringan M. Jiwa seawal minit ke-15, sebelum penyerang kebangsaan, Suhaimi Ibrahim menyumbat masuk gol kedua negara di minit ke-17.

Begitupun, Sameer Hussain kembali mendekatkan jurang apabila merembat masuk gol tunggal Pakistan pada minit ke-20.

Kedua-dua pasukan terus bersaing hebat di babak kedua, tetapi jaringan ketiga oleh Norazlan Rahim pada minit ke-48 akhirnya meleburkan impian Pakistan untuk beraksi di Hobart, tahun depan.

Malaysia yang kini naib juara kumpulan A akan bertemu juara kumpulan B, India esok manakala juara kumpulan A, Korea Selatan menentang Jepun bagi menentukan tempat ke perlawanan akhir.

Dalam perlawanan kumpulan B, Jepun berjaya melayakkan diri ke separuh akhir selepas mengalahkan Uzbekistan 6-2.

Begitupun, Doniyorbek Holmirzaev mengejutkan skuad negara matahari terbit itu dengan jaringan pendahuluan pada minit ke-12, sebelum Watanabe Daisaku menyamakan kedudukan, minit ke-22.

Tamekuni Takeshi memastikan Jepun mendahului 2-1 pada babak pertama permainan hasil jaringan pada minit ke-24.

Pada babak kedua, dia melengkapkan hatrik dengan dua gol lagi di minit ke-46 dan 56 manakala dua gol lagi hasil jaringan Ozawa Kazuyuki pada minit ke-38 dan 59. Gol kedua Uzbekistan disumbat masuk oleh Sherzod Bayaraev pada minit ke-53.

Kemenangan Jepun itu sekali gus menghampakan hasrat China dalam perebutan tempat selaku naib juara kumpulan B yang menjadi milik Jepun dengan kelebihan 10 mata berbanding 9 oleh China.

China sebelum itu menggunakan sepenuhnya kesempatan untuk membelasah Iran 14-0, sambil mengharapkan pertemuan Jepun dan Uzbekistan akan berkesudahan seri bagi membolehkan mereka menerus cabaran ke separuh akhir namun impian itu tidak kesampaian.

Pasukan itu mendahului tujuh jaringan tanpa balas di babak pertama dan meneruskan penguasaan di babak kedua.

Na Yubo membuka tirai jaringan untuk China menerusi rembatannya seawal minit ketiga permainan, diikuti jaringan pertama Song Yi, di minit keenam.

Song yang muncul penjaring terbanyak perlawanan kemudian menambah lima gol lagi pada minit ke-14, 20, 38, 48 dan 61, Qiaq Yundan dengan dua gol pada minit ke-31 dan 63.

Yu Yang turut menyumbat masuk dua gol pada minit ke-40 dan 64 manakala gol-gol lain oleh Yang Guangsen (11), Jiang Xishang (22) dan He Xu (66).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TSvUBq8n © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan