Sabtu, 17 Disember 2016

Menang bergaya ke atas Switzerland -- Malaysia hampiri Olimpik Sydney

ARKIB : 15/03/2000
MALAYSIA menempah tempat ke play-off selepas mengumpul tujuh mata untuk menduduki tangga ketiga kumpulan B setelah mencatat kemenangan bergaya 4-2 ke atas Switzerland pada perlawanan hoki kelayakan Olimpik di Stadium Hoki Nagai, Osaka, semalam.

Kehadiran Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF), Sultan Azlan Shah menyaksikan perlawanan itu turut menguatkan lagi semangat tinggi para pemain dalam memburu kemenangan.

K. Keevan Raj membuka tirai jaringan buat skuad negara apabila menyumbat masuk gol pertamanya sepanjang pusingan kelayakan ini menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-21 dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat masa pertama.

Pada minit ke-47 babak kedua, S. Kuhan menjadikan kedudukan 2-0 dengan merembat masuk satu lagi pukulan sudut penalti, sebelum ketua pasukan Switzerland, Thierry Grandchamp mendekatkan jurang di minit ke-52.

Jaringan itu tidak melunturkan semangat barisan serangan negara diketuai oleh Mirnawan Nawawi yang menyumbat masuk gol ketiga hasil hantaran jauh pada minit ke-54.

Mirnawan yang menyambut baik hantaran itu sekadar berdepan dengan penjaga gol lawan, Roger Thoma tiada masalah untuk menguis masuk bola.

Gandingan mantap Mirnawan dan Suhaimi Ibrahim juga membuah hasil pada minit ke-64 apabila dia melorongkan bola untuk disempurnakan oleh Suhaimi yang menjaringkan gol kemenangan Malaysia.

Begitupun, Grandchamp sempat mencuri ruang ketika satu serangan balas yang dilakukan oleh Switzerland untuk menjadikan kedudukan 2-4 apabila merembat masuk bola menewaskan penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli, 10 minit kemudian.

Jurulatih negara, Stephen van Huizen berkata, kemenangan itu hasil semangat tinggi barisan negara dalam memburu tiga mata penting ke play-off.

''Pemain mendapat semula keyakinan sepertimana ketika Piala Sultan Azlan Shah dan sedar betapa penting untuk mengumpul tiga mata penuh.

''Switzerland cukup pantas ketika melakukan serangan balas dan barisan pertahanan ini memberi aksi terbaik menyekat kemaraan mereka. Saya lega dengan kemenangan ini,'' katanya.

Jurulatih Switzerland, Paul Schneider pula kecewa kerana strategi yang digunakan tidak membuahkan hasil malah pasukan itu kurang mendapat pukulan sudut penalti.

''Malaysia beraksi cemerlang dari segi teknikal dan kami sukar mendapat pukulan sudut penalti yang kemungkinan boleh menghasilkan gol.

''Kami mencuba semua strategi selepas ketinggalan satu gol di masa pertama tetapi nampaknya serba tak menjadi ketika berdepan Malaysia. Mereka memberi persembahan luar biasa,'' ujarnya.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, Sepanyol menewaskan Argentina 6-3, sekali gus membuka peluang kepada Switzerland untuk kembali dalam persaingan merebut tempat ke play-off jika menewaskan Belarus esok.

Sepanyol yang mengekalkan rekod tanpa kalah, mengumpul 10 mata untuk merampas kedudukan di tangga teratas kumpulan dan dijangka tiada masalah menewaskan Belarus hari ini pada pertemuan terakhir mereka untuk mara ke separuh akhir.

Gol-gol Sepanyol dijaringkan oleh Pep Sanchez pada minit keenam, Pol Amat (50 dan 65), Eduard Tubau (55 dan 58), serta jaringan kemenangan oleh Xavi Arnau, minit terakhir permainan.

Argentina pula memperoleh jaringan menerusi Matias Vila pada minit ke-35, Rodrigo Vila (44) dan Jorge Lombi, minit ke-47. - Daripada SAADON JAAFAR Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4T6n2rzOI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan