Khamis, 15 Disember 2016

New Zealand mangsa ke-3


 

ARKIB : 20/02/2000
PEMAIAN pertahanan negara, Maninderjit Singh (depan) bertindak pantas menyekat percubaan New Zealand sambil diawasi penjaga gol, Mohd. Nasihin Nubli pada perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia menang 4-2.

CHAIRIL Anwar Aziz menjaringkan dua gol ketika Malaysia mencatat kemenangan 4-2, sekali gus menjadikan New Zealand sebagai mangsa ketiga skuad negara pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Dia yang direhatkan sejak November akibat kecederaan tumit meletakkan Malaysia pada permulaan selesa dengan sentuhan tepat dalam tempoh tujuh minit pertama permainan dengan kedua-duanya hasil hantaran pemain pertahanan, S. Kuhan.

Kuhan yang menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan Jerman 2-1 Khamis lalu, membuka peluang pertama buat Chairil, 27, apabila bola tolakannya ke dalam kawasan D New Zealand disambar oleh penyerang itu untuk gol sulung pada minit ketiga.

Kerjasama mereka terus membuahkan hasil untuk pasukan negara apabila pukulan percuma pada minit ketujuh yang dilakukan oleh Kuhan tepat kepada Chairil yang mudah menghulurkan kayunya untuk menewaskan penjaga gol yang juga ketua pasukan lawan, Scott Anderson.

New Zealand yang sebelum ini mengikat juara Amerika Utara, Kanada dengan keputusan 1-1 selepas dibelasah 4-1 oleh Korea Selatan, mula menunjukkan persefahaman lebih baik bermula minit ke-15 dan hasilnya mereka berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti.

Ryan Archibald yang sudahpun menjaringkan satu gol peribadi menerusi pukulan sudut penalti sebelum ini berjaya merapatkan jurang apabila memukul bola masuk hasil set piece yang berjaya memerangkap pertahanan tuan rumah.

Terkejut dengan jaringan itu membuatkan anak-anak buah Stephen Van Huizen bingkas mengasak dan sekali-sekala terpaksa bertahan akibat serangan balas lawan, namun gerakan kedua-dua pasukan gagal menemui penyudah berkesan sehingga separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 2-1.

Pemain muda negara, Shaiful Azli Abd. Rahman, 23, terus mengukuhkan kedudukan pasukan negara apabila menguis masuk bola selepas keadaan kelam-kabut di dalam kawasan D lawan akibat pukulan ke dalam oleh ketua pasukan, Nor Saiful Zaini.

New Zealand yang tidak patah semangat berusaha keras menambah gol dan diberikan pukulan sudut penalti pada minit ke-54 namun tidak menyangka ia memerangkap diri.

Nor Saiful yang berjaya mencuri bola terus membuat larian pantas ke dalam kawasan lawan sebelum menghantar bola kepada Mohd. Syarim Uda Karim di dalam kawasan D.

Menyedari kehadiran Suhaimi Ibrahim di sebelah kiri gol, Syarim pantas menolak bola kepada penjaring hatrik Malaysia ketika menewaskan Kanada itu yang mudah menewaskan Anderson untuk gol keempat.

Penguasaan skuad negara berterusan namun kealpaan bertahan di minit-minit terakhir memberikan ruang kepada Creg Russ untuk menambah jaringan buat New Zealand.

''Saya gembira dengan permainan mereka tetapi masih terdapat beberapa kelemahan,'' kata Stephen selepas menyaksikan anak-anak buahnya mencatatkan kejayaan ketiga berturut-turut.

Mengenai Chairil, beliau berkata: ''Saya lega kerana Chairil sudah mendapat semula sentuhan jaringannya dan begitu juga dengan Shaiful Azli yang turut membuktikan kemampuannya hari ini (semalam).''

Bagaimanapun, beliau turut lega kerana anak-anak buahnya telah menunjukkan kemajuan walaupun hanya kalah sekali dan seri sekali sebelum ini.

Oleh: A. JAILANI ABDULLAH

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SvArMBb1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan