Khamis, 22 Mei 2014

Nafas baru orang lama

 Oleh Mohd Firdaus Hashim 
Kuala Lumpur: Empat muka lama dan seorang pemain junior yang disisihkan daripada Kejohanan Hoki Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Kuantan awal bulan ini, disenaraikan kembali ke dalam skuad 18 pemain terakhir bagi menghadapi Piala Dunia di Hague, Belanda bermula 31 Mei ini.

Kelima-lima pemain itu membabitkan Roslan Jamaluddin, Mohd Shahrun Nabil Abdullah, Muhammad Razie Abdul Rahim, Hafifi Hafiz Hanafi serta pemain junior Muhammad Ramadhan Rosli.Ketua jurulatih hoki kebangsaan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, khidmat Roslan sebagai penjaga gol paling senior amat ditagih kerana dia satu-satunya pemain yang pernah merasai aksi Piala Dunia.

“Ketika di CC1 tempoh hari, saya terpaksa ketepikan Roslan kerana dia mengalami kecederaan. Walaupun sudah berusia, saya masih percayakan dia masih mampu menyumbang kepada pasukan berdasarkan pengalaman luas dimilikinya. “Begitu juga dengan Razie dan Ramadhan, mereka juga berada dalam senarai pemain yang cedera ketika CC1. Namun kini mereka sudah kembali pulih dan kehadiran mereka bertiga akan menguatkan lagi pasukan. “Shahrun Nabil sebelum ini tidak disenaraikan di CC1 kerana saya ingin mencuba taktikal baru terhadap pasukan dan memberi peluang kepada pemain junior. “Hafifi Hafiz pula menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang latihan dan perlawanan dan saya beri peluang kepadanya.


“Ini barisan terbaik kita kerana pemain yang dipilih memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa dan saya percaya kombinasi pemain senior dan junior ini mampu sekurang-kurangnya meraih kelompok 10 terbaik dunia di Belanda,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat MHC di Bukit Jalil, semalam. Dhaarma turut memberitahu, empat pemain skuad junior iaitu Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin, Muhammad Azri Hassan, Mohd Rashid Baharom dan Muhammad Hafizuddin Othman digugurkan daripada senarai kali ini.

Dalam pada itu, beliau turut tak mahu kehadiran pemain berdarah campuran Malaysia-Jerman, Kevin Lim dalam pasukan, dipertikaikan. Menurutnya, walaupun bekas pemain kebangsaan Jerman itu tidak menyertai sesi latihan dan pemilihan bersama rakan sepasukan, kelibatnya diyakini mampu memperkukuhkan barisan pertahanan negara di kejohanan itu nanti.
 Foto

DHAARMA (kanan) selepas pengumuman senarai pemain akan mewakili Malaysia ke Piala Dunia Hoki 2014 di Belanda. Turut kelihatan pengurus pasukan George Koshy (dua kanan).

“Saya percaya jika Kevin digandingkan bersama Razie dan Azlan Misron, sudah tentu benteng pertahanan akan menjadi lebih sempurna, sekali gus mampu memberi impak buat pasukan kebangsaan pada kempen Piala Dunia nanti,” katanya.


Skuad kebangsaan dijadual bertolak ke Belanda esok dan bakal mengharungi tiga ujian perlawanan pemanas badan iaitu menentang pasukan tuan rumah Belanda pada 25 Mei ini, di samping dua kelab profesional dari Liga Hoki Belanda (27 dan 29 Mei). Pada pusingan akhir Piala Dunia itu nanti, Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama pasukan nombor satu dunia Australia, England, Belgium, India dan Sepanyol.

Anak buah Dhaarma akan berdepan Australia pada perlawanan pembukaan 31 Mei, Belgium (2 Jun), England (5 Jun), India (7 Jun) dan aksi terakhir bertemu Sepanyol (9 Jun).

RUJUKAN-Artikel ini disiarkan my METRO pada : 2014/05/22

Tiada ulasan:

Catat Ulasan