ARKIB : 01/03/1998
KUHAN... jaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-60.
BANGKIT seperti harimau luka selepas dua kekalahan perlawanan persahabatan
dan ujian lalu, Malaysia bertindak garang untuk membelasah New Zealand 4-0 pada
hari pembukaan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-8 di Stadium Sultan Azlan Shah,
Ipoh, semalam.
Chairil Anwar Aziz, Apthar Singh, S. Kuhan dan Lam Mun Fatt layak ditabal
sebagai wira negara kerana bertanggungjawab menghasilkan pesta kemenangan skuad
negara itu menerusi rangkaian jaringan pada minit ke-12, 55, 60 dan 66.
Beberapa saat selepas wisel permulaan babak pertama dibunyikan, anak buah
Volker Knapp ini dihadapkan dengan suasana cemas apabila New Zealand
dihadiahkan pukulan sudut pendek.
Keadaan bertambah gawat setelah barisan pemain Malaysia dipersalahkan
semasa New Zealand melakukan pukulan sudut pendek hingga memaksa pengadil
menghukum mereka dengan pemberian penalti stroke kepada skuad Kiwi itu.
Namun hasrat New Zealand untuk mendahului, hampa akibat tindakan cemerlang
Paul Lopez, penjaga gol negara yang berjaya menampan pukulan oleh Darren Smith
itu pada minit kedua.
Selepas itu, persembahan pemain negara bertambah mantap dengan melakukan
serangan yang bertali arus ke atas kubu lawan.
Usaha gigih para pemain negara akhirnya membuahkan hasil apabila Chairil
menguis masuk umpanan daripada Maninderjit Singh untuk membuka tirai jaringan
Malaysia pada minit ke-12.
New Zealand turut bekerja keras bagi menyamakan kedudukan tetapi kekentalan
barisan belakang Malaysia terlalu kental untuk ditawan oleh penyerang mereka.
Ketua pasukan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang memperolehi peluang
daripada tiga pukulan sudut pendek pada minit ke-22, 27 dan 34 bagaimanapun
gagal untuk melebarkan kedudukan negara.
Babak kedua menyaksikan barisan pemain Malaysia terus meningkatkan asakan
mereka sehingga mengkucar-kacirkan benteng pertahanan New Zealand.
Memanfaatkan keadaan kucar-kacir itu, Aphtar Singh sempat menambah gol
kedua Malaysia melalui rembatan kencangnya untuk menumpaskan penjaga gol New
Zealand, Scott Anderson.
Walaupun demikian, skuad negara masih lagi hampa untuk mendapatkan gol
melalui pukulan sudut pendek.
Penyudahan lima pukulan itu yang diperolehi pada minit ke-41, 42, 47, 57
dan 59 masih lagi tersasar dari pintu gol New Zealand.
Namun kemunculannya kali keenam pada babak kedua berjaya mengubah nasib
malang itu setelah pukulan deras Kuhan mencecah gawang New Zealand untuk gol
ketiga Malaysia.
Anderson terus tewas buat kali keempat melalui rembatan kencang Mun Fatt
pada minit ke-66.
Tentu sekali kemenangan 4-0 itu menguntum senyuman lebar Knapp sambil
menyatakan, arahannya yang diikuti oleh setiap pemain merupakan faktor utama
mereka mampu mencipta langkah cemerlang, semalam.
''Kejohanan ini baru sahaja bermula dan banyak perlawanan yang perlu
ditempuhi. Harap-harapnya, pemain negara tidak terlalu khayal dengan kemenangan
ini,'' kata Knapp.
MALAYSIA: Paul Lopez, Maninderjit Singh, Calvin Fernandez,
S. Kuhan, Nor Azlan Bakar, Chairil Anwar Aziz, Brian Jayhan Siva, Nor Saiful
Zaini Nasiruddin, M. Kaliswaran, Apthar Singh dan A. Arul Selvaraj.
NZ: Scott Anderson, Andrew Timlin, Dion Gosling,
Umesh Parag, Darren Smith, Andrew Hastie, Brett Leaver, John Radovonich, Ryan
Archibald, Simon Towns dan Hymie Gill.
JADUAL HARI INI
5.35 ptg - MALAYSIA lwn Jerman; 7.35 mlm - Korea Selatan lwn England
(Semua perlawanan di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan