Sabtu, 19 Oktober 2019

Malaysia lepas geram


ARKIB : 31/03/1998
MALAYSIA memperoleh semula semangat perjuangan sebagai bekal untuk beraksi pada Hoki Piala Dunia di Utrecht, Belanda, Mei ini selepas membelasah Jepun 6-2 dalam perlawanan ujian antarabangsa di Stadium Tun Razak, semalam, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Sedikit pujian memang berhak diberikan kepada anak buah Volker Knapp ini kerana berhasil dengan langkah pertama untuk melontarkan memori pahit yang tercatat ketika Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, awal bulan ini.
Biarpun mampu mengganyang lawan yang belum setaraf mutu permainannya dengan Malaysia, kemenangan ini setidak-tidaknya menyuntik kembali moral skuad negara untuk bangkit memadamkan kecaman hebat media lalu.
Malaysia mendahului lawan 3-0 sehingga tamat babak pertama perlawanan hasil dua jaringan padang oleh Mirnawan Nawawi yang beraksi buat kali pertamanya tahun ini pada perlawanan antarabangsa selepas berehat panjang akibat kecederaan buku lali.
Ketua pasukan negara, Nor Saiful Zaini menyusuli langkah cemerlang Mirnawan itu sejurus kemudian untuk gol ketiga pada minit ke-20 daripada penyudahan sudut penalti.
Bagaimanapun berbekalkan dua percubaan sudut penalti, Jepun ternyata enggan menyerah begitu mudah apabila merapatkan jurang kedudukan menerusi Nadya Iwadate dan Takahiko Yamabori pada minit ke-33 dan 45.
Namun Mirnawan yang seperti melepaskan geram untuk mengakhiri kemarau aksi antarabangsa hampir dua bulan lalu melengkapkan jaringan hat trik, sekali lagi dengan jaringan padang pada minit ke-42.
Kegarangan Malaysia yang bertali arus terbukti pada minit ke-53 dan 58 untuk merobohkan gawang pasukan Matahari Terbit itu apabila Saiful dan Chairil Anwar Aziz tampil menjaringkan gol kelima dan keenam.
Knapp, jurulatih skuad negara berkata, kemenangan besar ini merupakan pemangkin semangat yang amat dinanti-nantikan untuk anak buahnya setelah melalui kecaman dan tekanan daripada banyak pihak.
''Cuma selepas mendahului tiga gol, pemain seperti terlalu ghairah untuk menampilkan gerakan yang cantik dan tidak perlu hinggakan terlepas banyak peluang menambah jaringan.
''Dengan kehadiran semula Mirnawan, R. Shankar dan Lailin Abu Hassan, Malaysia ternyata bertambah mantap dan ini saya kira satu permulaan yang memberangsangkan,'' jelas Knapp.
Tambah jurulatih import Jerman itu, Jepun banyak melancarkan serangan balas yang pantas malah pada beberapa ketika turut mampu menukar corak permainan walaupun ini sudah dijangka oleh skuad negara.
Sementara jurulatih merangkap pengurus pasukan Jepun, Yuji Nagai berkata, dia tidak begitu mengharapkan kejayaan mendadak pada perlawanan semalam oleh kerana masih penat daripada tempoh penerbangan yang panjang dari New Zealand.
Ujar Nagai, skuad Jepun yang mengadakan lima siri perlawanan ujian dengan Malaysia selama seminggu ini, sebenarnya baru sahaja dibentuk kira-kira dua bulan lalu.
''Matlamat utama kami ialah meraih sebarang pingat pada Sukan Asia di Bangkok, hujung tahun ini walaupun menyedari selain Malaysia, terdapat Pakistan, India dan Korea Selatan sebagai penghalangnya.
''Ketika berkunjung ke New Zealand, kami memenangi lima daripada lapan perlawanan ujian menentang beberapa kelab terkemuka dan ia merupakan pencapaian yang membanggakan,'' tambah Nagai.
Nagai turut menyenaraikan enam pemain yang pernah beraksi pada Kejohanan Remaja Dunia di Milton Keynes, England, tahun lalu dalam skuad kebangsaan Jepun kali ini.
Mereka ialah Yasuhiro Nobui, Akihiko Hirata, Kenichi Fukushi, Nadhiko Tobita, Daisuke Hokaze dan Hiromitsu Momazaki. Jepun menduduki tempat ke-11 pada kejohanan tersebut.
Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam siri kedua perlawanan ujian, di Stadium Tun Razak sekali lagi pukul 6 petang ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan