ARKIB : 22/05/1998
MALAYSIA longlai dalam langkah sulung perlawanan kumpulan B pusingan akhir
Hoki Piala Dunia apabila menjadi mangsa belasahan Pakistan 2-7 di Stadium
Frockey, Utrecht, Belanda semalam.
Hajat besar skuad negara untuk mengulangi kemenangan kali terakhir ke atas
lawan 2-1 ketika Sukan Asia di Seoul 1986 cuma tinggal impian semata-mata
setelah dibenam dengan jaringan Rahim Khan (9), Muhammad Shahbaz (15), Shahbaz
Ahmed (26), Sohail Abbas (31), Tahir Zaman (45), Kamran Ashraf (54) dan Atif
Bashir pada minit ke-62.
Pengurus pasukan negara, S. Kali Kavandan ketika dihubungi Sukan
Utusan berkata, pemain Malaysia tetap menunjukkan semangat juang yang
tinggi sekalipun akhirnya terpaksa menyerah kepada lawan yang berada antara
empat pasukan terbaik dunia.
''Kita memperoleh 11 pukulan sudut penalti. Dua daripadanya menepati
sasaran hasil sentuhan ketua pasukan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin,'' kata Kali.
Saiful, pemain paling berpengalaman negara menyempurnakan dua daripada
sembilan sudut penalti yang diperoleh untuk gol sagu hati Malaysia pada minit
ke-57 dan 64.
Sementara penolong jurulatih negara, Yahya Atan turut sependapat dengan
Kali apabila menilai persembahan keseluruhan anak didiknya semalam.
''Pakistan cuma dapat lima sudut penalti. Malah serangan Malaysia
sebenarnya tidak kurang hebat di samping pujian harus diberikan kepada penjaga
gol Pakistan, Ahmed Alam yang bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya.
''Cubaan Saiful misalnya dua kali terkena tiang. Jika dibandingkan peluang
menjaringkan gol, ia berpihak kepada kita tetapi Pakistan nampaknya lebih tepat
dan tajam untuk tindakan penyudah,'' jelas Yahya.
Tambahnya, Pakistan banyak bergantung kepada lorongan bola oleh pemain
berpengalaman mereka, Shahbaz Ahmed selain Tahir Zaman.
''Sekalipun Malaysia menugaskan Aphthar Singh dan Chairil Anwar Aziz
sebagai pembayang (marker) Shahbaz, dia ternyata masih mampu meluluskan diri
dengan kemahiran tersendirinya.
''Namun, skuad negara tetap berpuas hati kerana mampu memberikan saingan
sedaya upaya,'' ujarnya lagi.
Malaysia akan menghadapi Poland, esok untuk perlawanan keduanya, juga di Stadium
Frockey.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan