Ahad, 20 Oktober 2019

Pintu tertutup buat Gobi, Mun Fatt -- Hoki Piala Dunia di Utrecht


ARKIB : 04/05/1998
SIAPA GUGUR... Dua pemain pertahanan negara, Nor Azlan Bakar (kiri) dan Maninderjit Singh pastinya turut berdebar menantikan keputusan jawatankuasa pemilihan PHM hari ini sekembalinya dari kunjungan ke Eropah, semalam.


TUAH kemungkinan besar tidak lagi menyebelahi K. Gobinathan dan Lam Mun Fatt untuk menempatkan diri dalam senarai pemilihan 16 pemain negara ke pusingan akhir Hoki Piala Dunia di Utrecht, Belanda mulai 20 Mei ini.
Gobinathan yang memintas pemain berpengalaman, Kerpal Singh untuk menyertai skuad negara ke Eropah, minggu lalu, kini sudah boleh mengucapkan selamat jalan kepada rakan lain, tidak lama lagi.
Manakala Mun Fatt yang agak tenggelam ketika Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh tetapi kembali bangkit pada siri perlawanan ujian dengan Jepun, turut dikatakan bakal tersingkir.
Sekalipun dua pemain yang akan digugur hanya diketahui secara rasmi menerusi mesyuarat jawatankuasa pemilihan hari ini, sumber rapat Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) membayangkan Mun Fatt dan Gobinathan dianggap calon terdekat terlepas peluang ke Utrecht.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan