Rabu, 14 September 2016

Hoki: Malaysia menang lagi


 

ARKIB : 13/08/1998
Hoki: Malaysia menang lagi
MANA BOLA... Pertahanan negara, Maninderjit Singh (depan) cuba mengejar bola sambil cuba disekat oleh penyerang Jerman, Dirk Bruse pada perlawanan hoki ujian Malaysia-Jerman yang berakhir dengan kemenangan Malaysia 2-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi. - Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI.

SKUAD hoki negara menutup kempen lima perlawanan ujian menentang Jerman dengan rekod cemerlang, apabila menumpaskan bekas juara dunia itu 2-1 dalam pertemuan terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah Malaysia dalam lima perlawanan ke atas pasukan tangga ketiga Piala Dunia itu, sejak kempen dimulakan 6 Ogos lalu.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada dua perlawanan awal di Stadium Hoki Nasional, sebelum Malaysia mencipta kejutan dengan kemenangan 5-2 dan 1-0 pada dua perlawanan berikutnya di Stadium Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

''Saya gembira dengan persiapan yang dilakukan oleh Malaysia untuk menghadapi Sukan Komanwel,'' kata jurulatih negara, Paul Lissek.

''Kebanyakan pemain mula menunjukkan persefahaman lebih baik selepas lima perlawanan. Terus terang saya katakan persembahan mereka kini lebih meyakinkan,'' katanya lagi.

Menurut Lissek, pasukan negara kini mempunyai lebih banyak pilihan dan masa untuk memperbaiki skuad menjelang temasya 11 hingga 21 September itu.

Dalam perlawanan malam tadi, Malaysia ketinggalan 0-1 seawal minit ketujuh dan terpaksa menunggu hingga minit ke-41 untuk menyamakan kedudukan.

Sascha Reinluf mengejutkan kira-kira 4,000 penonton tuan rumah apabila melakukan rembatan kencang dari kiri pintu gol Malaysia untuk membuka tirai jaringan.

Tersentap dengan jaringan itu, Malaysia berusaha bangkit dengan mengatur gerakan bertali arus menerusi ketua pasukan, Mirnawan Nawawi, Nur Saiful Zaini Nasiruddin dan S. Kuhan.

Bagaimanapun, kekentalan benteng Jerman yang diterajui penjaga gol Christopher Reitz menggagalkan semua percubaan pemain negara sepanjang babak pertama.

Malaysia bagaimanapun tidak menunggu lama untuk gol penyamaan sejurus babak kedua dimulakan.

Mirnawan yang sudah menunggu di dalam kawasan penalti, hanya perlu menguis pukulan percuma yang diambil oleh K. Gobinathan.

Kuhan memastikan kemenangan 2-1 skuad negara apabila menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-49.

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4KFHoqPzT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan