Ahad, 4 September 2016

Nasib Lam, Gobi masih terawang

ARKIB : 05/05/1998
CUMA keajaiban dalam masa tiga minggu menjelang Hoki Piala Dunia di Utrecht, Belanda mampu mengubah keputusan jawatankuasa pemilihan semalam untuk mempertimbangkan semula pengguguran Lam Mun Fatt dan K. Gobinathan daripada skuad negara.

Mesyuarat jawatankuasa Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) itu cuma mengesahkan ramalan awal media tetapi pengurus pasukan, S. Kali Kavandan berkata, Mun Fatt dan Gobinathan masih diletakkan dalam 'senarai menunggu'.

''Mereka (Mun Fatt dan Gobinathan) masih boleh dipertimbangkan untuk menyertai semula skuad 16 pemain Piala Dunia. Tetapi ini bergantung kepada sebarang keadaan semasa terutama jika ada yang tercedera.

''Namun saya fikir buat masa ini, 16 pemain yang terpilih memang cukup cergas untuk terus beraksi di Utrecht. Kunjungan ke Jerman dan Belanda, baru-baru ini, menunjukkan skuad negara bebas daripada sebarang kecederaan sekalipun bermain di padang astroturf Utrecht yang agak licin,'' kata Kali.

Sebaliknya sebab sebenar nama Mun Fatt dan Gobinathan dipotong daripada senarai terakhir 16 pemain itu tampak kurang menarik minat ketua jurulatih negara, Volker Knapp untuk didedahkan.

''Tidak manis rasanya jika didedahkan tentang mengapa Mun Fatt dan Gobinathan digugurkan. Malah ia tidak adil bagi mereka apabila kelemahan mana pemain itu sampai ke pengetahuan umum.

''Saya, Kali dan Yahya Atan (penolong jurulatih) telah berbincang dari hati ke hati dengan setiap pemain ketika kunjungan ke Jerman dan Belanda dan kami dapati ia merupakan keputusan yang terbaik buat mereka,'' jelas Knapp.

Jurulatih dari Jerman itu turut menambah, persembahan skuad negara di sana secara keseluruhannya adalah lebih baik berbanding aksi memalukan ketika Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Mac lalu.

''Kadar penyudahan pukulan sudut penalti kita meningkat sehingga 55 peratus walaupun saya fikir ia masih boleh diperbaiki lagi pada pertandingan sebenar nanti.

''Skuad negara tidak mendedahkan kesemua tipu helah set-pieces sudut penalti di sana tetapi dengan lima gol yang dihasilkan daripada sembilan pukulan menerusinya, menceritakan ini suatu kemajuan ketara,'' ujarnya lagi.

Lebih membanggakan Knapp ialah memori pahit anak buahnya sebagai mangsa belasahan di Ipoh kini semakin lenyap sebaliknya dia yakin, peningkatan itu merupakan titik tolak skuad negara untuk merapatkan jurang perbezaan dengan Jerman dan Belanda sebagai antara empat pasukan handalan dunia.

''Menerusi persembahan pemain itu, saya berani katakan kita sudah mampu memintas Korea Selatan yang masih 'bergelut' kerana berhajatkan matlamat yang sama (menyaingi Jerman dan Belanda),'' katanya.

Ungkapan yakin Knapp itu bagaimanapun masih tidak dapat lari daripada sasaran realistik yang ditetapkan buat skuad negara - keenam terbaik keseluruhan Piala Dunia dan tempat keempat dalam peringkat awal kumpulan B.

Mendampingi Malaysia dalam kumpulan ini ialah Pakistan, lawan pertama skuad negara pada 21 Mei ini selain England, Australia, Sepanyol dan Poland.

''Cuma kawalan bola yang longgar dan konsistensi mutu permainan nampaknya masih menjadi halangan utama pasukan. Apa pun, pusingan kelayakan lalu sudah terbukti, Malaysia sebenarnya mampu bangkit sekali gus mencipta kejutan,'' katanya lagi.

Malaysia akan mengadakan satu perlawanan persahabatan sebelum Piala Dunia menentang New Zealand di Utrecht pada 19 Mei ini.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JHAPuvVD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan