Ahad, 25 Jun 2017

Laluan semakin perit


 

ARKIB : 15/04/2006
PEMAIN Malaysia, Megat Azrafiq Termizi menghadang asakan dua pemain Korea Selatan, Hong Eun Seong (kanan) dan You Hyo Sik pada perlawanan Kelayakan Hoki Piala Dunia di Kompleks Sukan Wujin, Changzhou, semalam. Korea menang 3-1. - AFP.

CHANGZHOU - Korea Selatan menambah luka sekali gus menyempitkan laluan Malaysia ke separuh akhir dengan menewaskannya 3-1 dalam Kelayakan Hoki Piala Dunia di Kompleks Sukan Wujin di sini, semalam.

Jaringan Jong Hyun Jang, Kyung Seok Kim dan Nam Yong Lee pada minit kesembilan, 10 dan 63 mencipta kekalahan kedua skuad negara yang cuba bangkit selepas ditundukkan Jepun 0-1, Rabu lalu.

Skuad bimbingan Wallace Tan ini bagaimanapun memperoleh jaringan sagu hati Chua Boon Huat pada minit ke-52 pada perlawanan yang menarik dan seimbang dalam Kumpulan B itu.

Kemaraan ke separuh akhir akan membawa pasukan itu secara automatik ke pusingan akhir di Monchengladbach, Jerman, September ini namun kegagalan bererti mereka perlu menanti penentuan tempat kelima.

Malaysia yang tertekan memburu mata sulung, gagal mencipta peluang pada babak pertama sedangkan lawan yang menguasai perlawanan, memanfaatkan sudut penalti dan penalti strok dalam tempoh seminit.

Daripada satu reka helah, Hyun Jang menyungkit masuk sudut penalti manakala strok Seok Kim diperoleh akibat pukulan awalnya terkena salah seorang pemain Malaysia di atas garisan gol.

Anak didik Wallace bangkit pada babak berikutnya dengan melancarkan dan mencipta lebih banyak serangan dan peluang tetapi terus tersungkur dengan jaringan padang Yong Lee yang mencedok dari sudut yang sukar.

Kemenangan ini mencerahkan semula peluang Korea Selatan ke separuh akhir kelayakan setelah dikerah seri 2-2 dengan Perancis, Rabu lalu sementara tugas Malaysia terus berliku dan semakin getir.

Sementara itu, New Zealand mengukuhkan kedudukan selaku peneraju Kumpulan B dengan mengutip kemenangan kedua setelah menumpaskan Jepun 4-2 hasil jaringan Darren Smith, Bevan Hari, Ryan Archibald dan Phillip Burrows.

Jepun bagaimanapun merapatkan jurang masing-masing menerusi pemusnah harapan Malaysia lalu, Takahiko Yamabori dan Hiroki Sakamoto daripada sudut penalti dan jaringan padang pada minit ke-53 dan 56.

Sebelum ini, New Zealand yang hanya menduduki tempat kelima di belakang Malaysia yang meraih pingat gangsa Sukan Komanwel ke-18 di Melbourne, bulan lalu, menewaskan China 4-1.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l3tCcOBE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan