Jumaat, 23 Jun 2017

Roslan tercicir lagi



 
ARKIB : 04/04/2006
Roslan tercicir lagi

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
S. KUHAN (kiri) bersama rakan sepasukan mendengar penerangan jurulatih, Wallace Tan pada sesi latihan pemilihan ke pusingan kelayakan Piala Dunia, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR - Enam belas pemain yang memenangi pingat gangsa Sukan Komanwel Melbourne, baru-baru ini dikekalkan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia di Changzhou mulai 12 April sambil P. Prabhakaran dan Kevinder Singh ditambah sebagai anggota terbaru.

Terus diketepikan sekali lagi dalam pemilihan terakhir semalam ialah penjaga gol, Roslan Jamaluddin sementara dua pemain skuad Piala Dunia Remaja, tahun lalu - Shahrun Nabil Abdullah dan Shukri Mutalib diletakkan dalam senarai simpanan.

Pertahanan berpengalaman dan pakar sudut penalti, S. Kuhan terus dipilih mengetuai 18 pemain skuad negara yang ditetapkan sasaran mara ke separuh akhir di Changzhou sekali gus layak ke pusingan akhir di Monchengladbach, Jerman, September ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor mengumumkan pemilihan mereka selepas taklimat dengan ketua jurulatih negara, Wallace Tan dan pengurus pasukan, Nur Azmi Ahmad di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

``Kami mengekalkan skuad Sukan Komanwel berdasarkan tahap kecergasan mereka yang memberangsangkan di Melbourne dan mampu dipertaruhkan lagi untuk mencapai sasaran separuh akhir dalam Kelayakan Piala Dunia,'' katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B dengan tuan rumah, China, Jepun, Korea Selatan, Perancis dan New Zealand manakala Kumpulan A mengandungi Pakistan, England, Belgium, Mesir, Ireland dan Ka-nada.

Anak didik Wallace yang berlepas ke Changzhou awal pagi esok, akan menentang Jepun pada perlawanan sulungnya, 12 April ini di gelanggang poligras yang seakan-akan Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, Pahang.

Hanya lima pasukan terbaik daripada kelayakan, akan ke pusingan akhir untuk menyertai tuan rumah, Jerman selain Australia, Sepanyol, Belanda, India, Afrika Selatan dan Argentina yang mara secara automatik selaku juara di peringkat benua.

Jika gagal ke separuh akhir sekurang-kurangnya selaku naib juara Kumpulan B, Malaysia perlu menduduki tempat ketiga dan bermain dalam perlawanan penentuan untuk merebut slot terakhir ke Monchengladbach.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4kqFXhx3F
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan