Ahad, 25 Jun 2017

Menang tapi sudah terlewat



ARKIB : 22/04/2006

CHANGZHOU - Sehari selepas post-mortem yang menyaksikan pengurus pasukan, Nur Azmi Ahmad berang dengan kelemahan pasukan hoki negara, Malaysia baru menampakkan sedikit tenaga untuk menumpaskan Mesir 6-2 dalam perlawanan bagi menentukan kedudukan tempat kesembilan dan ke-12 kejohahan hoki lelaki kelayakan Piala Dunia di Kompleks Sukan Wu Jin, semalam.

Kemenangan itu bagaimanapun menuntut harga yang tinggi, apabila ketua pasukan S. Kuhan dan Chua Boon Huat terpaksa dikeluarkan akibat cedera.

Kuhan cedera di pergelangan tangan kiri pada minit ke-65, sekali gus menghalangnya daripada beraksi menentang Kanada hari ini.

Boon Huat yang cedera di kaki juga mungkin terlepas aksi hari ini.

Kanada menumpaskan China 1-0 untuk mara ke perlawanan menentukan tempat ke sembilan dan ke-10.

Pemain pertahanan, Muhamad Amin Rahim yang tersasar semasa membuat pukulan penalti, menjadi wira semalam apabila mencipta hatrik dengan jaringan pada minit ke-31, 38 dan 60, Ismail Abu (13), K. Logan Raj (47) dan Mohd Rodzhanizam Mat Radzi masing-masing menyumbang satu gol dalam perlawanan semalam.

“Seandainya 50 peratus sahaja daripada apa yang kita tunjukkan dalam perlawanan hari ini (semalam) dapat dipamerkan sepanjang kempen kelayakan di sini, mungkin kita punyai prospek yang lebih baik,'' kata Nur Azmi selepas perlawanan itu.

“Kita mungkin dapat lebih banyak gol jika pukulan penalti tidak tersasar dan beberapa cubaan berjaya membuahkan hasil,'' tambahnya.

Malah perlawanan itu sendiri bermula dengan agak mengejutkan apabila pengadil dari Portugal, Teixeira Da Silva yang mengalami kekejangan otot, terpaksa diganti oleh pengadil simpanan dari Korea Selatan Kim Hong-lae di pertengahan separuh masa pertama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4l4cXr6Iv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan