Ahad, 24 September 2017

Beri tumpuan, bukan leka pujian - Sarjit Singh



ARKIB : 10/05/2007

IPOH - Para pemain Malaysia diingatkan supaya tidak lemas dalam pujian setelah mempamerkan persembahan cemerlang peringkat kumpulan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh yang semakin sengit.

Jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh meminta para pemain supaya tidak hilang fokus dengan pujian media dan orang ramai.

Sarjit bimbang anak buahnya akan ‘lemas dengan pujian sehingga menjejaskan persembahan mereka kelak.

‘‘Tugas kita belum selesai kerana baru menamatkan perlawanan pada kumpulan sahaja,” jelas Sarjit di Ipoh semalam.

‘‘Tumpuan utama mereka ialah aksi separuh akhir Jumaat ini,” tambahnya.

Para pemain remaja kebangsaan melakukan kejutan apabila menduduki tangga teratas kumpulan B dengan dua kemenangan dan seri satu perlawanan.

Malaysia yang menduduki ranking ke-14 dunia seri 2-2 menentang Pakistan dalam perlawanan pertama 5 Mei lalu.

Persembahan mereka semakin meningkat dengan menumpaskan Kanada 2-0 dengan kejayaan terbesar menumbangkan Korea yang menduduki ranking keenam dengan dengan 1-0 untuk muncul juara kumpulan. Malaysia akan bertemu India esok dengan satu lagi aksi separuh akhir menampilkan pertemuan Australia dan Korea Selatan.

PHM melakukan kejutan apabila menyenaraikan pemain remaja dengan mengenepikan pemain senior selepas Sukan Asia di Doha, Disember lalu.

Skuad negara bimbingan Wallace Tan dibubarkan dan digantikan dengan barisan pemain pada kejohanan Remaja Dunia di Belanda 2005 di bawah asuhan Sarjit.

Hanya empat pemain senior iaitu Chua Boon Huat, Jiwa Mohan, Azlan Misron dan Kumar Sumbramanian masih kekal.

Bekas pemain kebangsaan, Mohamad Abdul Hadi menyokong pendapat Sarjit sambil berkata: ‘‘Para pemain jangan leka dah harus memberikan tumpuan.’’

Malaysia layak ke akhir pada 1985 tetapi kalah 1-2 kepada India menerusi jaringan Mohamad Abdul Hadi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4taE97p2Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan