Jumaat, 29 September 2017

Sarjit temui ‘tonik mujarab’ -- Perlawanan akhir hoki Piala Sultan Azlan Shah



ARKIB : 13/05/2007

Oleh KAMARUDDIN ISMAIL

IPOH – Catatan atas kertas prestasi Australia kelihatan jauh di depan, namun ia langsung tidak menggerunkan semangat skuad hoki kebangsaan yang akan turun habis-habisan pada perlawanan akhir Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, hari ini.

Jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh akui Australia sememangnya berada jauh di depan.

Namun, tegas Sarjit, catatan atas kertas tersebut tidak menggerunkan anak-anak buahnya, malah mereka akan memberi tentangan untuk meraih kejayaan.

‘‘Mereka (pemain) semakin bersemangat selepas menumpaskan India, kelmarin yang mana akan menjadikan persembahan Malaysia lebih bertenaga.

‘‘Sasaran menjadi empat pasukan terbaik sudah tercapai dan sasaran layak ke perlawanan akhir juga diperoleh, kini kami cuba mengejar sasaran terakhir menjulang piala tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Sarjit yang pernah beraksi dalam perlawanan akhir pada kejohanan yang sama pada tahun 1985 berkata, beliau sudah menyusun strategi tersendiri bagai perlawanan akhir hari ini.

‘‘Saya meminta para pemain supaya beraksi sama seperti perlawanan terdahulu agar mereka tidak menghadapi sebarang tekanan,” ujarnya.

Malaysia layak ke perlawanan akhir selepas menumpaskan India 2-1 pada saingan separuh akhir, kelmarin.

Terdahulu, Malaysia muncul juara Kumpulan B selepas seri 2-2 dengan Pakistan, menumpaskan Kanada 2-0 dan Korea 1-0.

Australia pula muncul johan Kumpulan B dengan mengalahkan China 7-2 dan India 1-0 tetapi tumpas 0-1 kepada Argentina.

Pada perlawanan separuh akhir, Australia membelasah juara Asia, Korea Selatan 6-2.

Kali terakhir Malaysia berada di final ialah pada tahun 1985, menentang India tetapi kalah 1-2.

Sepanjang kejohanan itu dianjurkan sejak tahun 1983, Australia muncul juara sebanyak empat kali pada tahun 1983, 1998, 2004 dan 2005.

Australia juga pernah menjadi naib johan pada tahun 1996 dan 2006 serta menduduki tangga ketiga pada tahun 1994 dan 2001.

Australia juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens 2004 dan menjadi naib johan Piala Dunia 2006.

Selain itu, Australia turut berjaya menduduki tempat keempat dalam perebutan Trofi Juara-Juara.

Sementara Malaysia yang muncul naib juara pada kejohanan 1985 juga pernah mendapat tempat ketiga pada 1996 dan keempat pada tahun 1983, 1987, 1994 dan 2000.

Mengenai susunan pemain, Sarjit mengharapkan Chua Boon Huat bersama-sama Megat Azrafiq Megat Termizi dan Engku Malik Engku Mohamad akan menjadi penghalang utama serangan Australia hari ini.

Gandingan Azlan Misron, Jiwa Mohan dan Ismail Abu sudah tentu menjadi sandaran utama kepada Sarjit bagi menggegarkan pintu lawan.

Jurulatih kebangsaan itu dijangka menggunakan khidmat pemain gantian seperti Tengku Ahmad Tajuddin, S. Selvaraju dan Kalvinder Singh.

Strategi tersebut berjaya membuahkan hasil apabila pemain-pemain berkenaan berjaya menjaringkan gol yang amat diperlukan.

Sementara itu, jurulatih Australia, Colin Batch mengakui persembahan Malaysia semakin meningkat dan berbeza dengan persembahan pada tahun lalu.

‘‘Australia yang dalam proses pembikinan sebuah pasukan yang mantap tetap menghormati Malaysia kerana mempunyai pelbagai strategi yang mengelirukan,” katanya,

Beliau percaya kedua-dua pasukan akan mempamerkan persembahan yang menarik dan menghiburkan kelak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4u3zEd0hC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan