Jumaat, 29 September 2017

Kemarau 22 tahun berakhir



ARKIB : 12/05/2007
Oleh: KAMARUDDIN ISMAIL
PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan layak ke perlawanan akhir dengan menewaskan India 2-1 pada separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam tadi. - Gambar HANAFI KHAMIS.

IPOH – Malaysia mengakhiri kemarau 22 tahun untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah dengan mengejutkan India 2-1 pada separuh akhir edisi ke-16 di Stadium Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Kejayaan itu semakin manis kerana skuad bimbingan Sarjit Singh ini menebus kekalahan kepada lawan yang menghampakan Malaysia 2-1 ketika muncul naib juara 1985, juga di Ipoh. Sarjit turut menganggotai pasukan yang diketuai Foo Keat Seong itu.

Dua gol Malaysia dijaringkan oleh Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-11 dan Kelvinder Singh, minit ke-40 sementara India merapatkan jurang menerusi Shivendra Singh pada minit ke-13.

Kejayaan ini begitu bermakna bagi Sarjit apatah lagi baru lima bulan menyandang tugas ketua jurulatih skuad negara selain memperbaiki pencapaian tempat tercorot kejohanan ini tahun lalu.

Malaysia mempamerkan permainan menarik sejak awal dengan percubaan Ismail Abu yang hampir menolak umpanan ketua pasukan, Chua Boon Huat.

Stadium yang penuh sesak dengan 5,000 penyokong Malaysia dengan kemasukan percuma, tiba-tiba gegak gempita apabila Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menolak masuk hantaran silang Jiwa Mohan pada minit ke-11.

Namun begitu, lebih 8,000 penyokong Malaysia tergamam apabila Shivendra berjaya merembat kencang hantaran Sardar Singh pada minit ke-13 untuk membawa India menyamakan kedudukan.

Malaysia menyerang balas, namun penjaga gol India, Bajlit Singh bertindak pantas menepis pukulan sudut penalti daripada Jiwa Mohan pada minit ke-20.

Penyerang berbahaya India, Shivendra berpeluang besar untuk menambah jaringan pada minit ke-21 tetapi mensia-siakannya ketika pintu gol Malaysia sudah ternganga.

Selepas itu, penyerang Malaysia, Ismail Abu pula gagal menolak masuk hantaran jauh walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol India.

India, juara Piala Sultan Azlan 1985, 1991 dan 1995 turut memperolehi dua pukulan sudut penalti pada minit ke-24 dan 32 tetapi masih gagal menyempurnakannya.

Permainan Malaysia semakin garang apabila menambah gol kedua pada minit ke-40 melalui tolakan cantik Kelvinder Singh setelah menerima hantaran daripada Boon Huat.

Barisan pertahanan Malaysia yang diketuai oleh Megat Azrafiq berjaya menyerap serangan bertalu-talu oleh penyerang India yang cuba mencari gol penyamaan dan memaksa permainan ke masa tambahan.

Selain itu, penjaga gol Malaysia, S. Kumar turut mempamerkan permainan yang tangkas dan meyakinkan dengan menepis beberapa cubaan berbahaya India.

‘‘Pemain negara bermain dengan baik dan mengikut setiap arahan saya. Kami banyak bertahan pada babak pertama dan hanya bangkit dalam babak kedua.

“Taktik pukulan jauh dan kuis kami banyak mengancam India namun sokongan 5,000 peminat tempatan turut menaikkan semangat juang pemain dan membantu kejayaan ini,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, naib juara tahun lalu, Australia membelasah juara Asia, Korea Selatan 6-2.

Australia yang pernah menjuarai kejohanan ini pada 1983, 1998, 2004 dan 2005, mendapat gol menerusi Desmont Abbot pada minit kesembilan, Andrew Smith (22), Liam Deyoung (37 dan 60), Eli Matheson (51) dan Abbott (69).

Juara Asia itu berjaya menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh pemain muda, Jeong Yun Sang pada minit ke-11 dan Lee Sung Min pada minit ke-57.

Jadual hari ini

Penentuan tempat ketujuh-kelapan: 7.35 pagi - Kanada lwn. China; kelima-keenam: 9.35 pagi - Pakistan lwn. Argentina

Esok

Penentuan tempat ketiga-keempat: 3.05 petang - Korea Selatan lwn. India; perlawanan akhir: 5.05 petang - MALAYSIA lwn. Australia

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u3NrwKCQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan