Ahad, 24 September 2017

Malaysia atasi Kanada



ARKIB : 07/05/2007

IPOH – Malaysia mencerahkan peluang untuk layak ke separuh akhir kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-16 selepas menundukkan Kanada 2-0 di Stadium Sultan Azlan Shah di sini, semalam, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan negara mengumpul empat mata daripada dua perlawanan selepas seri 2-2 dengan Pakistan pada perlawanan pertama Kumpulan B, kelmarin.

Kedua-dua jaringan Malaysia semalam diperoleh pada babak pertama dan kedua menerusi pukulan sudut penalti Jiwa Mohan dan Mohd. Sharun Nabil Abdullah.

Pada awal persaingan, Malaysia mempamer persembahan agak perlahan berbanding corak permainannya yang lebih pantas ketika bertemu Pakistan kelmarin.

Aksi hambar pasukan negara itu turut diakui jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh, yang menganggapnya berkaitan kerja keras anak buahnya ketika melawan Pakistan.

“Pemain-pemain pasti akan hilang tenaga sekiranya kita terus menggunakan pendekatan yang pantas pada awal saingan.

“Ia (bermain perlahan) memang strategi saya untuk disesuaikan dengan permainan Kanada yang lebih banyak bertahan,” jelas Sarjit di Ipoh semalam.

Semalam, pasukan negara membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi pukulan sudut pendek yang disempurnakan Jiwa untuk menewaskan penjaga gol, Michael Mahood.

Malaysia turut memperoleh dua pukulan sudut pendek pada minit ke-18 dan 21, namun ia berjaya diselamatkan oleh Mahood.

Pasukan negara memantapkan permainan di separuh masa kedua dan memperoleh dua lagi pukulan sudut pendek pada minit ke-44 dan 60, namun ia gagal menghasilkan gol.

Begitu pun, pukulan sudut pendek ketujuh Malaysia akhirnya memberikan gol pada minit ke-69, kali ini disempurnakan oleh Sharun.

Menurut Sarjit, beliau berharap tempoh rehat selama 24 jam akan memberikan tenaga kepada pemain-pemainnya sebelum berdepan ujian getir Korea Selatan, esok.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi untuk membawa Malaysia ke separuh akhir,’’ katanya.

Sementara itu dalam perlawanan Kumpulan A, Argentina mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Australia.

Gol tunggal kemenangan diperoleh pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut pendek yang disempurnakan oleh Lucas Rafael Rossi.

Dalam satu lagi perlawanan, India pula memerlukan lima gol untuk menundukkan China 5-4.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ta3nyCv6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan