Jumaat, 29 September 2017

Tewas secara bermaruah -- Perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah



ARKIB : 14/05/2007

IPOH – Hasrat barisan pemain muda hoki negara untuk mencipta kejutan pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Australia pada perlawanan akhir di sini, semalam.

Ketika kejayaan semakin berpihak kepada skuad negara selepas membenam India 2-1, kelmarin, Australia mempamerkan asakan bertali arus, memaksa anak-anak buah Sarjit Singh terpaksa lebih banyak bertahan pada babak pertama.

Kemenangan semalam juga menambah koleksi kejuaraan Australia sebagai pasukan yang paling banyak muncul juara iaitu sebanyak lima kali sejak kejohanan itu dianjurkan pada tahun 1983.

Australia yang tampak dengan permainan kemas mendahului 3-0 menerusi jaringan Eddie Ockenden (minit 38, 41) sebelum Rusell Ford menyumbatkan gol ketiga pada minit ke-53.

Gol sagu hati Malaysia diperoleh menerusi Jiwa Mohan melalui pukulan sudut pendek minit 70.

Sementara itu, jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh tetap berbangga dengan skuad bimbingannya yang telah memberikan komitmen yang tinggi sehingga ke wisel penamat.

‘‘Kami kalah kepada pasukan kedua terbaik di dunia tetapi para pemain telah dapat menimba banyak pengalaman dalam perlawanan ini,” kata jurulatih itu di sini, semalam.

Jurulatih itu berkata, beliau sebelum ini telah meminta para pemain supaya lebih banyak bertahan pada separuh masa pertama menyebabkan lawan gagal menjaringkan gol.

Katanya, Malaysia telah bermain lebih terbuka pada separuh masa kedua yang mana persembahan menjadi lebih rancak.

Namun begitu, katanya, corak permainan sedemikian telah membuka ruang kepada Australia untuk menjaringkan gol.

‘‘Kita tidak boleh bertahan selamanya dan perlu juga beraksi lebih terbuka kerana inginkan gol,” jelas Sarjit .

Australia yang berada pada tangga kedua dunia menguasai permainan sejak awal perlawanan.

Sementara itu, penjaga gol Malaysia, S. Kumar dipilih Penjaga Gol Terbaik Kejohanan Edisi ke-16 ini.

Ockenden yang menyumbangkan dua gol pada perlawanan akhir dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan rakan sepasukannya, Andrew Smith Pemain Terbaik Kejohanan.

Sementara itu, India berada di tangga ketiga selepas menumpaskan Korea Selatan 1-0.

Pemain China, Song Yi pula muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol manakala Argentina dipilih memenangi Piala Fair Play.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u43ALrFl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan