Jumaat, 29 September 2017

Skuad muda berupaya takluk dunia



ARKIB : 15/05/2007

IPOH – Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-16 yang berakhir di Ipoh kelmarin membuktikan bahawa barisan muda negara mampu menakluk dunia pada masa akan datang.

Walaupun skuad muda itu dibentuk kira-kira lima bulan lalu tetapi mereka hampir menakluk pasukan-pasukan ternama Asia dalam kejohanan tersebut.

Ia terbukti apabila Malaysia seri 2-2 dengan Pakistan yang menduduki tangga kelima Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang juga pemenang pingat gangsa Sukan ASia di Doha, tahun lalu.

Ia disusuli dengan kejayan menumbangkan pasukan ranking keenam dunia, Korea Selatan 1-0 dan pasukan tangga kelapan India 2-1.

Malaysia yang menduduki ranking ke-14 dunia berjaya memberi tentangan sengit kepada Australia yang berada pada ranking kedua dunia dalam perlawanan akhir meskipun akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 1-3.

Ketua jurulatih Pakistan, Islahuddin mengakui Malaysia mempunyai pemain-pemain muda yang berbakat besar dan mampu menyerlah pada masa akan datang.

Namum begitu katanya, Malaysia perlu meningkatkan lagi kemahiran permainan hoki supaya permainan mereka lebih menyengat.

‘‘Penguasaan kemahiran permainan begitu penting kerana memudahkan untuk melakukan hantaran tepat dan pemain akan menerima hantaran itu dengan lebih sempurna tanpa kehilangan bola,” jelas Islahuddin di Ipoh.

Jurulatih India, Joaquim Carvarho mengakui para pemain Malaysia memang berbakat tetapi keupayaan mereka perlu dipertingkatkan lagi.

Skuad bimbingan Sarjit Singh itu mencipta kejutan apabila berjaya layak ke perlawanan akhir selepas 22 tahun gagal berbuat demikian.

Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir pada tahun 1985 semasa Sarjit beraksi dengan Foo Keat Seong, Mohamad Abdul Hadi, Mohd Sayuti Abdul Samad dan pemain-pemain lain. Malaysia kalah 1-2 kepada India dalam perlawanan akhir tersebut.

Rata-rata bekas pemain seperti Keat Seong, Mohamad Abdul Hadi dan Mohd Sayuti percaya pasukan ini mampu mengembalikan kegemilangan hoki negara tetapi berilah mereka sedikit masa untuk terus menimba ilmu dan pengalaman.

‘‘Janganlah terlalu mengharapkan pencapaian cemerlang dalam sekelip mata kerana mereka perlu masa antara satu atau dua tahun untuk berada pada tahap yang membanggakan,” kata Mohd. Sayuti.

Sarjit juga meminta para peminat tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi ke atas skuad itu kerana para pemain masih perlukan banyak pengalaman dan kemahiran.

Beliau tidak menolak kekalahan 1-3 kepada Australia kerana kegagalan para pemain melakukan hantaran yang tepat kepada rakan sendiri sehingga pemain lawan dapat mencuri bola.

Malaysia juga perlu memperbaiki kelemahan semasa melakukan pukulan sudut pendek bagi mendapatkan gol mudah.

Hanya tiga gol dijaringakan daripada lebih 20 pukulan sudut pendek yang diperolehi yang mana pukulan tersebut disempurnakan oleh Jiwa Mohan dan Zulkifli Rejab.

‘‘Kami akan tingkatkan lagi keupayaan melakukan pukulan sudutu pendek tersebut,” tambah Sarjit.

Kini, skuad muda negara sedang bersiap-siap untuk menghadapi pertandingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing tidak lama lagi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u44ug2a0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan