Ahad, 24 September 2017

Ismail pastikan Malaysia ke separuh akhir



ARKIB : 09/05/2007

IPOH – Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah setelah menewaskan Korea 1 - 0 dalam saingan Kumpulan B di Stadium Azlan Shah, Ipoh, semalam, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Penyerang lincah, Ismail Abu muncul wira negara apabila berjaya menjaringkan gol tunggal itu pada minit ke-59 dan sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah Malaysia di peringkat kumpulan.

Gol berpunca apabila Ismail, 23, yang berada dalam kawasan D menyambut hantaran lambung Zulkifli Rejab yang melepasi dua pertahanan Korea.

Bola itu jatuh betul-betul di depan Ismail yang tidak dikawal sebelum pantas menguis masuk ke jaring lawan sekaligus memperdayakan penjaga gol Korea.

Sebelum ini, Malaysia mencatat keputusan seri 2 - 2 dengan Pakistan dan menumpaskan Kanada 2 - 0 Ahad lalu bagi mengumpulkan tujuh mata.

Separuh masa pertama, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan yang seimbang tetapi gagal menjaringkan sebarang gol.

Peluang sulung Malaysia mendahului Korea hadir pada minit ke-18 tetapi disia-siakan ketua pasukan, Chua Boon Huat yang gagal menolak masuk bola ke dalam gol lawan yang sudah pun terbuka.

Separuh masa kedua, permainan bertambah rancak kerana Malaysia inginkan kemenangan untuk layak ke separuh akhir setelah gagal berbuat demikian sejak tahun 2000 lalu.

Kali terakhir Malaysia layak ke separuh akhir pertandingan ini pada tahun 2000 dan berjaya menduduki tempat keempat.

Boon Huat sekali lagi menghampakan hampir 5,000 penyokong tempatan apabila gagal membuat tolakan sempurna di awal aksi selepas rehat.

Tiba giliran penyokong Malaysia gelisah pada saat-saat akhir permainan apabila Korea mendapat pukulan sudut pendek pada minit ke-69 tetapi gagal disempurnakan.

Keadaan bertambah tegang apabila Korea mendapat pukulan sudut pendek lagi pada minit ke-70 dalam usaha keras mereka untuk mendapatkan gol penyamaan.

Usaha Korea itu digagalkan oleh pemain-pemain Malaysia dan sekaligus mengesahkan kemenangan negara yang mana disambut meriah oleh para penyokong.

Namun begitu, Malaysia terpaksa menunggu hingga ke hari ini bagi menentukan lawannya di peringkat separuh akhir nanti.

Sementara itu, Pakistan mencerahkan laluan ke separuh akhir setelah menumpaskan Kanada 2 - 0.

Pakistan memperolehi dua gol melalui jaringan padang yang dilakukan oleh Shabis Khan ( m-17 ) dan Akhtar Ali ( m-32 ).

Namun begitu, Pakistan terpaksa menyambung perlawanannya menentang Korea yang tertangguh kelmarin setelah berlaku gangguan elektrik di stadium itu.

Kedua-dua pasukan yang terikat 2-2 akan meneruskan permainan yang tertangguh selama 43 minit lagi pada petang ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ta9RUYms
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan