Selasa, 21 Mac 2017

Aksi kelas tinggi benam India - Juara 1975 tersungkur



ARKIB : 28/02/2002
 
PENYERANG negara, Mirnawan Nawawi (kanan) meraikan gol ketiga jaringannya bersama Chua Boon Huat dan Mohd. Tajol Rosli sewaktu menentang India dalam perlawanan kumpulan B Hoki Piala Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia menang 3-2.

MALAYSIA mempamerkan aksi kelas dunia apabila menewaskan pasukan juara 1975, India 3-2 dalam saingan sengit yang menyaksikan perlawanan dihentikan lebih setengah jam akibat hujan dalam pertemuan kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Bermula cemerlang dengan gol pendahuluan seawal minit ketiga permainan, skuad negara dihukum akibat kesilapan sendiri yang membolehkan India bangkit merapatkan jurang dalam tempoh 20 minit sebelum tamat perlawanan yang disaksikan kira-kira 8,000 penonton.

Gol pertama negara disumbangkan oleh pemain remaja, S. Shanker yang menyempurnakan hantaran Chua Boon Huat untuk menewaskan penjaga gol India, Jude Menezes.

Pasukan lawan hampir menyamakan kedudukan tiga minit kemudian, apabila rembatan percuma yang dilakukan di luar kawasan D sudah menerjah gawang negara, tetapi pengadil, Hamish Jamson dari England membatalkan jaringan itu.

Para pemain India yang pantas mengerumuni pengadil terbabit, mendakwa bola terkena kayu hoki Dalgit Singh terlebih dahulu sebelum meluru masuk ke gawang, namun rayuan mereka diketepikan.

Malaysia yang terus menguasai permainan memperoleh gol kedua pada minit ke-19 menerusi satu serangan balas, menyaksikan Chua menguis bola ke belakang dan K. Keevan Raj tanpa teragak-agak melakukan rembatan masuk.

India yang memenangi perlawanan akhir di Kuala Lumpur 27 tahun lalu, berusaha bangkit dan hampir mendekatkan jurang apabila hantaran pendek K. Gopinathan berjaya dirampas oleh penyerang lawan, tetapi percubaan itu digagalkan jentera pertahanan negara.

Perlawanan terhenti 30 minit akibat hujan lebat dan sebaik aksi diteruskan, skuad negara meneruskan keunggulan untuk meraikan gol ketiga pada minit ke-31.

Gol itu berpunca daripada hantaran Chua yang berada dalam kawasan D lawan, menguis bola tepat kepada ketua pasukan negara, Mirnawan Nawawi yang menggunakan pengalamannya memusingkan badan untuk jaringan ketiga negara.

Aksi babak kedua bagaimanapun sekadar memperlihatkan kelemahan barisan pertahanan negara yang melakukan dua kesilapan mudah untuk membolehkan India merapatkan jurang gol.

Corak bertahan yang diamalkan juga membawa padah apabila India memperoleh gol pertamanya pada minit ke-51 menerusi rembatan Daljit Singh yang menyempurnakan hantaran ketua pasukannya, Baljit Singh Dillon.

Pertahanan negara meneruskan kelalaian itu yang menyaksikan India meraikan gol keduanya hasil bola pantulan sudut penalti oleh Prabjot Singh pada minit ke-58, sekali pun bola sempat dihadang oleh penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin.

Roslan wajar dianggap wira dengan kecekapannya menggagalkan penalti strok lawan yang diperoleh selepas bola pukulan sudut lawan terkena kaki pemain negara.

Pukulan Baljit Singh, sembilan minit sebelum tamat permainan, bagaimanapun berjaya ditepis keluar oleh Roslan untuk kedudukan muktamad menyebelahi Malaysia dengan 3-2.

Malaysia mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan - kalah kepada Australia 3-0, serta menang 1-0 ke atas Jepun dan 3-2 ke atas India.

India pula dengan satu mata selepas seri 2-2 dengan Jepun sebelum tumpas dua kali - kepada Korea Selatan 2-1 kelmarin dan Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bx1D35xN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan