Isnin, 20 Mac 2017

Kelalaian dan kesilapan punca kita seri

ARKIB : 22/01/2002
KESILAPAN penjaga gol dan kelalaian barisan pertahanan membawa padah apabila Malaysia terpaksa berkongsi satu mata selepas seri 1-1 dengan New Zealand pada Kejohanan Hoki Enam Negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Selepas mendahului 1-0 pada minit ke-16, barisan negara terperangkap dengan gerakan jentera serangan lawan yang mudah menghasilkan gol penyamaan.

Gol itu berpunca daripada rembatan Simon Towns pada minit ke-51 itu dan dibiarkan sahaja oleh pertahanan negara tanpa sebarang halangan.

Penjaga gol, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim pula sekadar melihat bola menerjah gawangnya tanpa bertindak menyepak keluar kerana menyangka posisi penyerang lawan itu di luar kawasan penalti.

Namun pengadil, Jean Paul Sabourne segera meniupkan wisel mengesahkan jaringan itu, sekali gus menyerahkan satu mata kepada New Zealand.

Skuad negara memulakan aksi penuh cemerlang pada babak pertama yang menyaksikan ketua pasukan, Mirnawan Nawawi terlepas dua peluang keemasan untuk menghasilkan gol.

Dua minit perlawanan bermula, Mirnawan merembat hantaran M. Jiwa, tetapi penjaga gol New Zealand, Paul Woodford pantas menyelamatkan keadaan.

Mirnawan yang menerima hantaran K. Keevan Raj sekali lagi mencemaskan pertahanan lawan tiga minit kemudian, namun bola pukulannya terkena tiang.

Pada minit ke-14, Mohd. Nasihin melegakan penyokong Malaysia apabila bertindak kemas menggagalkan percubaan pukulan sudut penalti oleh Blair Hopping.

Dua minit kemudian, Keevan meletakkan Malaysia di depan selepas menyambung pukulan sudut penalti yang dilakukan oleh Chua Boon Huat.

Skuad negara meneruskan aksi meyakinkan di awal babak kedua, tetapi gol penyamaan oleh Towns meranapkan sama sekali impian kemenangan.

Ketua jurulatih negara, Paul Lissek yang berang ketika mengulas kelalaian pertahanan negara itu pada sidang akhbar selepas perlawanan, turut menepuk meja untuk melepaskan geram.

``Para pemain tampak keliru. Mereka menyangka jaringan itu akan dibatalkan oleh pengadil kerana pemain lawan melakukan pukulan di luar kawasan penalti.

``Mereka sebenarnya tidak pasti apakah penyerang lawan itu benar-benar berada di luar kawasan itu.

``Kalau rasa ragu sekali pun janganlah biarkan bola masuk begitu sahaja. Penjaga gol pula sepatutnya menyepak keluar bola,'' tegasnya.

Jurulatih New Zealand, Kevin Towns pula menyifatkan pasukannya bernasib baik kerana catatan seri 1-1 itu.

``Malaysia bermain lebih baik dan mereka boleh mendahului sekurang-kurangnya tiga gol pada babak pertama.

``Kami mungkin bernasib baik kerana gol penyamaan itu selepas menukar taktik permainan di babak kedua,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bqvgzjtv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan