Ahad, 19 Mac 2017

Kita kejutkan Argentina

ARKIB : 04/12/2001
ANAK buah Paul Lissek mengejutkan Argentina dengan mempamerkan rentak permainan berbeza untuk menang 4-2 ke atas juara Pan Amerika itu dalam perlawanan persahabatan kedua mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Selepas hanya seri 1-1 pada perlawanan pertama kelmarin, S. Kuhan, Tajol Rosli Mohamed, Maninderjit Singh dan Rodhanizam Mat Radzi memastikan skuad negara meraih mata penuh semalam.

Lebih menarik, Malaysia mencapai peratusan 50 peratus dalam pukulan sudut penalti apabila dua gol diperoleh menerusinya.

Jaringan sulung diperoleh seawal minit keempat menerusi pakar pukulan sudut penalti, Kuhan yang melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol lawan, Pablo Moreira.

Moreira terus tertekan pada minit ke-19 tetapi nasib masih menyebelahi mereka apabila pemain tengah Malaysia, K. Logan Raj gagal menyempurnakan peluang terbuka di depan pintu gol.

Argentina, yang bermain tanpa bintang utamanya, Jorge Lombi yang masih beraksi dalam liga di Belanda, bagaimanapun mula menyerap tekanan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-31.

Jaringan berpunca daripada kesilapan penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim apabila menahan bola yang melambung dengan dadanya. Penyerang Argentina, Santiago Capurro yang berada berhampiran pantas menggunakan kesempatan yang terbuka untuk menolak gol penyamaan.

Namun, tiga minit kemudian, kedudukan kembali memihak kepada tuan rumah apabila Tajol menolak masuk gol kedua Malaysia dari jarak dekat.

Jaringan berpunca daripada gerakan solo K. Keevan Raj yang menggelecek tiga pemain lawan sebelum menyungkit bola melepasi Moreira dan bola tepat kepada Tajol yang tidak dikawal di depan pintu gol.

Namun, gol paling cantik semalam disumbangkan oleh pemain pertahanan, Maninderjit yang dengan tenang menyungkit bola pukulan sudut penalti ke penjuru kiri gawang Argentina pada minit ke-55 untuk Malaysia mendahului 3-1.

Argentina yang membawa 12 pemain yang membantunya melepasi kelayakan Piala Dunia zon Pan Amerika, bagaimanapun berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-60 setelah mendapat peluang apabila bola yang ditampan oleh Nasihin bergolek tepat kepadanya.

Namun, penyerang muda negara, Rodhanizam mematikan rentak kebangkitan Argentina dengan jaringan keempat pada minit ke-57 setelah menerima hantaran lintang Tajol dari sebelah kiri.

Lissek berpuas hati dengan mutu permainan anak buahnya yang menunjukkan peningkatan berbanding Sabtu lepas.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bpei8Ym6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan