Isnin, 20 Mac 2017

Hoki Piala Dunia - Malaysia menjadi pilihan Poland


 

ARKIB : 14/02/2002
PEMAIN Poland turun dari bas menuju ke hotel penginapan sejurus tiba di Kuala Lumpur untuk cabaran Hoki Piala Dunia. Poland diletakkan dalam kumpulan B pada kejohanan 24 Februari-9 Mac ini. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.

POLAND memilih Malaysia dan Korea Selatan sebagai pasukan pilihan dari kumpulan B biarpun skuad itu sendiri meletakkan harapan menduduki tempat terbaik pada Hoki Piala Dunia bermula 24 Februari ini.

Pengurus pasukan, Tomasz Felman berkata, dua pasukan itu dilihat mampu mengatasi pasukan lain termasuk Poland sendiri dalam perlawanan kumpulan.

``Walaupun kumpulan kami turut terdiri daripada Australia dan England, saya memilih Malaysia dan Korea Selatan sebagai pilihan dari kumpulan B.

``Apa lagi Malaysia bermain di tempat sendiri, pasti mereka akan bermain dengan semangat amat tinggi,'' katanya ketika ditemui sejurus tiba bersama pasukannya di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Felman, jika melihat kepada keputusan perlawanan membabitkan Malaysia dengan Poland dalam tempoh dua tahun terakhir, kemenangan memihak kepada Malaysia.

``Kami tewas 3-2 kepada Malaysia pada perlawanan penentuan tempat ke-11/12 pada Sukan Olimpik Sydney.

``Biarpun kekalahan itu agak tipis, kami akui Malaysia sebuah pasukan yang kuat dan mereka mampu mencipta sesuatu pada Piala Dunia ini,'' katanya.

Sebelum di Sydney, Malaysia pernah bertemu Poland pada kelayakan Piala Dunia di Kuala Lumpur pada 1997 yang mana Poland menang 5-4 untuk layak ke Piala Dunia 1998 di Utrecht.

Poland tiba di Kuala Lumpur untuk membawa cabaran Piala Dunia yang disertai 16 pasukan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 24 Februari hingga 9 Mac ini.

Skuad itu hadir dengan 17 pemain adunan daripada pemain senior dan remaja dengan membawa harapan tinggi menduduki tempat lebih baik berbanding pada Sukan Olimpik Sydney 2000 dan dan Piala Dunia di Utrecht, Belanda pada 1998.

``Harapan kami di sini (Piala Dunia) nampak amat sukar dengan adanya pasukan-pasukan gagah seperti itu. Tetapi kami akan lakukan yang terbaik mengikut keupayaan kami,'' katanya.

Menurut Felman, Poland telah membuat persiapan rapi untuk Piala Dunia sejak Januari lalu termasuk mengadakan persahabatan dengan Sepanyol dan Belgium.

``Kami berlatih di Sepanyol selama 10 hari dan mengadakan dua perlawanan dengan pasukan kebangsaan negara itu sebagai persiapan utama kami,'' katanya.

Mereka tewas dalam semua perlawanan termasuk dua perlawanan dengan Belgium.

Felman, 27, mengurus pasukan Poland yang dilatih oleh Jerzy Joskowiak sejak setahun tiga bulan lalu.

``Saya baru menguruskan pasukan ini dan tentulah harapan saya pada Piala Dunia ini amat tinggi,'' katanya yang meletakkan sasaran menduduki lapan tempat teratas.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bs4QYL1S © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan