Ahad, 19 Mac 2017

Yahya yakin misi Malaysia tercapai

ARKIB : 16/10/2001
Daripada SAADON JAAFAR
HOBART - Malaysia perlu memastikan kemenangan ke atas Afrika Selatan hari ini bagi mencerahkan peluang merebut sembilan kedudukan teratas daripada 16 pasukan selepas Scotland menewaskan Chile 3-2 pada saingan kumpulan H pusingan kedua Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di sini semalam.

Afrika Selatan yang mencatat kemenangan 3-2 ke atas Chile kelmarin, bagaimanapun bukan lawan mudah buat Malaysia di Pusat Hoki Tasmania, sekali pun jurulatih negara, Yahya Atan yakin misi itu dapat dijayakan.

``Kita sudah mengkaji corak permainan Afrika Selatan dan tidak memandang mudah keupayaan mereka. Para pemain tidak boleh lagi beraksi sambil lewa kali ini.

``Lawan juga tampak cukup bersemangat dalam memburu kemenangan dan apa yang paling utama para pemain harus bersabar dalam permainan dan tidak melakukan kesilapan,'' katanya.

Tambah Yahya, selepas terikat 1-1 dengan Scotland kelmarin, barisan negara sudah berjanji untuk kembali memberi aksi terbaik apabila berdepan pencabar dari benua Afrika itu.

``Saya bersama para pemain telah mengkaji setiap kesilapan lalu dan yang pasti, saya harap para pemain tidak mempersia-siakan setiap peluang yang ada di depan pintu gol lawan,'' ujarnya.

Sementara itu, jaringan oleh Steven Glass dalam masa sembilan saat sebelum tamat permainan memastikan Scotland mengetepikan cabaran Chile semalam.

Chile yang mengejutkan Scotland untuk mendahului permainan menerusi pukulan sudut penalti oleh Esteben Krainz pada minit akhir babak pertama, nyata gagal menyekat gol penyamaan lawan hasil jaringan Niall Stott pada minit ke-43.

Terkejut dengan jaringan itu, Chile sekali lagi mendahului apabila Alan Stein merembat masuk gol padang, empat minit kemudian untuk kedudukan 2-1.

Namun dengan ketika saingan semakin hangat, Scotland berjaya mencuri tiga mata penuh dengan dua gol lagi menerusi Stott pada minit ke-63 dan Glass di minit akhir.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4blgjYXDQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan