Sabtu, 11 Mac 2017

Mirnawan tekad teruskan khidmat

ARKIB : 02/11/2000
KETUA pasukan hoki negara, Mirnawan Nawawi tidak berhasrat mengikut jejak beberapa rakan sepasukannya yang meninggalkan skuad kebangsaan, sebaliknya percaya mampu menyumbang tenaga selama tiga atau empat tahun lagi.

Ketika rakan sepasukan seperti Nur Saiful Zaini Nasiruddin, M. Kaliswaran, Syarim Uda Karim dan K. Logan Raj mengambil keputusan untuk berehat daripada arena hoki kerana masalah pekerjaan dan tumpuan terhadap pelajaran, Mirnawan masih gagah memikul tugas utama itu.

''Saya ingin terus menabur bakti kepada negara ini mungkin untuk tiga atau empat tahun lagi jika tenaga saya masih diperlukan.

''Beberapa rakan sepasukan meninggalkan skuad negara kerana tumpuan bidang lain termasuk meneruskan pengajian tetapi saya rasa masih mampu bersama skuad kebangsaan,'' katanya.

Jika niat itu tetap diteruskan, Mirnawan, 29, yang sudah memikul tiga tugas mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000, mungkin dapat mempamerkan aksi pada temasya berikutnya di Athens 2004.

''Bagi saya skuad negara semakin kukuh dengan gabungan muka baru dan lama. Gandingan itu agak mantap dan saya yakin Malaysia mampu bangkit di arena hoki.

''Saya tidak bercadang untuk bersara daripada sukan ini dan mungkin saya mampu meneruskan aksi lima atau enam tahun lagi di persaingan peringkat negeri mewakili Kuala Lumpur,'' ujarnya.

Dia yang memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Malaya, percaya usia bukan penghalang dalam memburu kejayaan.

''Saya akan terus berusaha memburu kejayaan dan anugerah yang diterima ini merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha keras kepada atlet,'' kata Mirnawan mengenai pemilihannya sebagai Olahragawan Kuala Lumpur 1999, Isnin lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4b5wsfum1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan