Sabtu, 18 Mac 2017

Hoki Remaja: Malaysia akur kehebatan Australia

ARKIB : 03/09/2001
MALAYSIA gagal menandingi kehebatan juara remaja dunia, Australia apabila tunduk 2-1 pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Remaja Jemputan Lima Negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Kuala Lumpur semalam.

Australia ternyata menguasai permainan pada separuh masa pertama apabila mereka mengatur beberapa serangan cantik ke arah gawang gol Malaysia.

Peluang Australia wujud seawal minit ketiga perlawanan selepas pukulan Alistair Mc Lennan tersasar tinggi selepas mendapat hantaran silang daripada Steven Bullion daripada kanan gelanggang.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Yahya Atan itu turut mengatur strategi untuk membolosi gawang gol negara Kanggaru itu namun ternyata pertahanan Australia terlalu kebal.

Peluang Malaysia hanya terbatas di tengah kawasan gelanggang dan ia gagal untuk disudahi oleh para pemain.

Penjaga gol Malaysia, Shaiful Azhar Afendi juga diuji sekali lagi pada minit ke-21 apabila Australia melakukan serangan kemas tetapi dia merebahkan badannya untuk menghalang percubaan itu dan bola melirik keluar ke sebelah kanan padang.

Tetapi pada minit ke-27, Malaysia yang memperolehi pukulan sudut penalti yang pertama tidak mensia-siakan peluang itu apabila ia disudahi oleh ketua pasukan, Chua Boon Huat yang mendapat hantaran daripada Azlan Misron.

Bagaimanapun kegembiraan pasukan tuan rumah tidak kekal lama apabila Australia dihadiahkan pukulan penalti pada minit akhir separuh masa pertama selepas penjaga gol Malaysia, Shaiful terpijak bola dalam usahanya untuk menolak keluar bola di hadapan pintu golnya.

Australia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Craig Lynn sebelum wisel separuh masa dibunyikan.

Sementara itu, pada babak kedua, Malaysia berusaha untuk mendapat gol kedua tetapi semua usaha mereka gagal menemui jalan penyudah.

Malaysia bermimpi ngeri pada minit ke-49 apabila Australia menyumbat gol kedua mereka dengan pukulan kencang Micheal Boyce di luar kotak gol.

Bagaimanapun, pasukan remaja negara yang berpeluang menyamakan kedudukan pada minit akhir selepas memperolehi pukulan sudut penalti namun pukulan Azlan Misron terkena palang gol untuk menafikan gol kedua dan sekligus memaksa permainan tambahan masa.

Yahya berkata, pemainnya mempunyai beberapa peluang yang cantik tetapi gagal untuk menyempurnakannya.

``Berlainan dengan Australia yang menggunakan sepenuhnya peluang yang mereka ada,'' katanya.

Sementara itu, India berjaya menewaskan Korea Selatan 3-2 untuk menduduki tempat ketiga.

Gol-gol India dijaringkan oleh Rajpal Singh, Viren Rasquinha dan Tejbir Singh manakala dua gol Korea Selatan adalah daripada Jung Seong Tae dan Seo Jong Ho.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bk5rfpBS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan