Ahad, 26 Mac 2017

Kita bernasib baik ikat India - Stephen



ARKIB : 07/01/2003
PEMAIN pertahanan Malaysia, Megat Azrafiq Termizi (kiri) cuba menghalang pergerakan penyerang India dalam Kejohanan Jemputan Bawah 19 Antarabangsa di Bukit Jalil, semalam. Perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri 1-1. - Gambar AZLI AHAD.

MALAYSIA mengikat pasukan pilihan, India dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan `buku bertemu ruas' pada Kejohanan Hoki Jemputan Lelaki Bawah 19 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

India yang memiliki pemain-pemain berkemahiran individu yang tinggi mendapati mereka disaingi oleh pemain-pemain tuan rumah yang menunjukkan permainan terpuji dan bersemangat.

Pasukan pelawat, yang menang 2-0 ke atas Pakistan kelmarin bagaimanapun menguasai perlawanan dan mencipta banyak gerakan ke kubu Malaysia tetapi penyerang-penyerangnya mendapati mereka sukar melepasi kawalan barisan pertahanan skuad negara yang ditunjangi oleh Megat Azrafiq Termizi dan persembahan cemerlang penjaga gol, Khairul Nizam Ibrahim.

Sekali pun diasak bertali-arus pada babak pertama, namun Malaysia mampu bertahan untuk mengekalkan keputusan 0-0 sehingga rehat.

Namun, India meningkatkan serangan apabila perlawanan disambung yang menyaksikan skuad tuan rumah terus bertahan.

Tetapi gerakan India pada minit ke-44 gagal dihalang untuk menyaksikan Tushar Khandekar menolak masuk gol pertama perlawanan.

Menyangka skuad lawan akan berpegang dengan corak bertahan, India menerima padah apabila Malaysia hanya mengambil masa enam minit untuk kembali mengikat kedudukan.

Menerusi serangan balas, anak buah Stephen van Huizen yang menundukkan Korea Selatan 3-1 pada perlawanan pembukaan, memperoleh pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Mohd. Izwan Hassan pada minit ke-48.

``Kita bernasib kerana berjaya mendapat seri,'' kata Stephen selepas perlawanan. ``Pemain-pemain telah bekerja keras dan bertahan dengan baik.''

``Saya gembira dengan permainan mereka tetapi kita sepatutnya boleh bermain dengan lebih baik.''

Katanya, kelemahan skuad negara ialah jurang jarak antara penyerang dan pemain tengah yang terlalu ketara ketika mengasak sehingga banyak gerakan terhenti di tengah jalan.

``Penyerang kita bergerak terlalu pantas sehingga menyukarkan pemain tengah untuk memberi bantuan,'' jelasnya.

Skuad negara juga jelas terasa akan ketiadaan ketua pasukan, Engku Abd. Malek Engku Mohammad yang direhatkan akibat cedera manakala pemain tengah, Mohd. Sallehin Abd. Ghani pula terlalu berhati-hati selepas menerima kad kuning pada minit ke-29.

Jurulatih India, Harindher Singh pula kesal kerana pemain-pemainnya gagal menyempurnakan banyak pe-luang.

``Kita banyak menyerang tetapi pemain-pemain melepaskan peluang,'' katanya.

``Bagaimanapun, ini ialah perlawanan yang baik untuk mereka. Banyak ilmu boleh diperoleh daripada perlawanan ini,'' tegasnya.

Sementara itu, skuad Bawah 16 Malaysia mengejutkan Korea Selatan dengan permainan penuh bersemangat untuk turut mencipta keputusan 1-1.

Korea mendahului menerusi Kim Young-bae pada minit ke-15 tetapi selepas itu mendapati mereka diberikan tentangan sengit oleh bakat muda negara.

Selepas melepaskan banyak peluang, skuad negara akhirnya memperoleh gol penyamaan pada babak kedua menerusi Hafifi Hafiz Hanafi pada minit ke-60.

Bagaimanapun, mata perlawanan itu tidak dikira dalam klasifikasi. Penyertaan skuad Bawah 16 negara dalam kejohanan ini hanyalah sebagai pendedahan untuk mereka menimba pengalaman dalam pertandingan antarabangsa.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cRr3ynKe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan