Sabtu, 25 Mac 2017

Hoki berjaya dapat gangsa



ARKIB : 13/10/2002
BUSAN - Malaysia mengakhiri kemarau pingat dalam acara hoki sejak 1994 dengan memenangi gangsa Sukan Asia XIV setelah menewaskan Pakistan 4-2 menerusi penentuan penalti strok di Stadium Hoki Gangseo, semalam.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat itu, penjaga gol, Roslan Jamaluddin berhak ditabal selaku wira Malaysia apabila menyekat dua tolakan strok Sohail Abbas dan Ali Mudassar.

K. Keevan Raj, Chua Boon Huat, S. Kuhan, Amin Rahim dan Norazlan Rahim masing-masing menyudahi tepat pukulan Malaysia dan Sarwar Muhammad dan Wasim Muhammad membalas untuk lawan.

Kedua-dua pasukan masih terikat 1-1 mulanya hasil jaringan Sohail diikuti gol penyamaan oleh Keevan sepanjang masa permainan sebenar dan 15 minit tambahan masa untuk mencari jaringan emas.

Ini juga merupakan kemenangan pertama Malaysia dalam tempoh 16 tahun apabila menumpaskan lawan 2-1 pada Sukan Asia Seoul 1986 sekali gus menjadi kegagalan sulung Pakistan meraih pingat sejak temasya 1958.

Namun Pakistan lebih dulu memimpin perlawanan setelah Sohail menewaskan Roslan sebaik sahaja tampanannya melantun hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-23.

Minit ke-39 tiba-tiba menyaksikan Malaysia berada setara dengan lawan apabila seorang pemain Pakistan dipersalahkan ketika cuba menangkis pukulan sudut penalti oleh Amin.

Pukulan strok menjadi habuan Malaysia sejurus kemudian lantas Keevan tanpa membuang masa dengan mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol Pakistan, Ahmad Alam.

Pakistan semakin tertekan kerana gagal menembusi gawang Malaysia walaupun sehingga masa tambahan dan akhirnya langsung patah semangat apabila permainan diheret ke penentuan strok.

Jurulatih negara, Paul Lissek berkata, ``memang sedikit tuah membantu tetapi bukan itu sahaja sebenarnya. Kita menang kerana berjaya mencium keadaan Pakistan yang tersilap langkah.

``Mereka ternyata masih terkejut kerana kalah kepada India (separuh akhir) sebaliknya kita selain tuah, berbekal semangat juang dan tak kenal putus asa mencapai kemenangan manis ini,'' kata jurulatih dari Jerman ini.

Katanya, Pakistan diakui sentiasa yang terbaik dalam segenap segi selain merupakan pilihan utama temasya terutama ketika membelasah anak buah beliau 6-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan B.

Apa pun menurutnya, kemenangan tersebut turut mencatatkan detik membanggakan dalam kerjayanya sebagai jurulatih Malaysia apatah lagi sasaran skuad negara ke temasya ini hanyalah mara ke separuh akhir.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tan Sri P. Alagendra mengumumkan setiap anggota pasukan menerima RM500 sebagai ganjaran atas kejayaan luar dugaan meraih gangsa itu.

``Hadiah ini adalah untuk mereka. Sebelum ke sini, tiada siapa yang memberikan harapan kepada pasukan ini apatah lagi untuk meraih sebarang pingat tetapi saya tetap meyakini mereka,'' katanya. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cNb40CpB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan