Khamis, 16 Mac 2017

Malaysia kalah pada Mesir 4-2



ARKIB : 12/03/2001
DHAKA, Bangladesh - Skuad remaja negara tewas 2-4 kepada Mesir dalam perlawanan sulung Kejohanan Hoki Piala Emas Perdana Menteri Bangladesh, semalam.

Malaysia, satu-satunya negara yang menghantar pasukan remaja dalam kejohanan sembilan negara itu ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama.

Belal Ibrahim mengejutkan Malaysia dengan dua jaringan awal dalam tempoh tiga minit pada minit ke-17 dan ke-19.

Mesir kemudian melebarkan kedudukan 3-0 hasil jaringan Hossam Ibrahim pada minit ke-22.

Pasukan negara, yang dalam persiapan menghadapi Piala Remaja Dunia di Hobart, Oktober depan terus tertekan apabila ketinggalan 4-0, selepas 14 minit memasuki babak kedua hasil jaringan Amr Fattah.

Selepas membenarkan lawan menguasai hampir sebahagian besar babak pertama serta saingan awal separuh masa kedua, pasukan negara akhirnya memberikan cabaran dalam 10 minit terakhir.

K. Shanmuganathan merapatkan jurang gol pada minit ke-62 dan Zaharin Zakaria hanya memerlukan enam minit untuk menjadikan kedudukan 4-2.

Walaupun mempamer peningkatan pada minit-minit terakhir, Malaysia terpaksa akur menamatkan saingan tanpa sebarang mata akibat kesilapan di awal permainan.

Sementara itu dalam kumpulan A, bekas juara Sukan Olimpik, India menepati ramalan apabila membelasah Scotland 5-1.

Sementara bekas juara dunia, Pakistan yang diletakkan dalam kumpulan B bersama Malaysia, mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas China.

Pasukan negara akan meneruskan cabaran dengan menentang Ireland, Rabu ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bUH6dI7D© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan