Sabtu, 18 Mac 2017

Kita hampa lagi


 

ARKIB : 06/08/2001
DUA pemain negara, M. Jiwa (kiri) dan Nor Azlan Bakar cuba menyekat kemaraan pemain Korea Selatan, Song Seong Tae pada perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam. Korea Selatan menang 4-1. - Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN.

Oleh: SAADON JAAFAR
KOREA SELATAN memastikan Malaysia terus kempunan dalam memburu kemenangan apabila menewaskan skuad negara 4-1 pada perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Selepas mengikat India 2-2 dan England 0-0, skuad negara turun berdepan Korea Selatan dengan impian mengutip tiga mata penuh, namun kehebatan pasukan gergasi Asia itu sukar ditandingi.

Selepas 24 minit menguji benteng negara, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Sydney 2000 itu akhirnya memecah kebuntuan apabila Yeo Woon Kon menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Seminit selepas itu, Korea Selatan sekali lagi menghukum kelalaian jentera pertahanan Malaysia dengan gol kedua menerusi Hwang Jong Hyun untuk menewaskan penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat babak pertama dan sebaik perlawanan disambung, Korea Selatan kembali mencemaskan kubu Malaysia dengan asakan oleh Jun Seon.

Skuad negara merapatkan jurang menerusi aksi kemas pemain yang baru diketengahkan dalam skuad kebangsaan, Mohd. Rodhanizam Mat Radzi pada minit ke-47 hasil hantaran cantik S. Shankar untuk menewaskan penjaga gol Korea Selatan, Kim Yoon.

Namun jaringan itu gagal menaikkan semangat skuad negara yang semakin leka dan kesempatan itu digunakan oleh Kim Jung Chul dengan dua gol dalam tempoh empat minit untuk meleburkan terus impian negara.

Dia menyumbat masuk gol ketiga pasukannnya pada minit ke-53 selepas mencuri ruang hasil pergelutan dalam kawasan D Malaysia, sebelum menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-57.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhvSR7Oj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan