Sabtu, 18 Mac 2017

Hoki remaja: Malaysia beraksi di akhir


 

ARKIB : 01/09/2001
NOR Azlan Rahim (no.9) gembira selepas berjaya menjaringkan gol kemenangan Malaysia untuk menempah pertemuan dengan Australia pada perlawanan akhir Hoki Remaja Jemputan Lima Negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok. - Gambar AZMAN GHANI.

MALAYSIA melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Remaja Jemputan Lima Negara selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas India pada pertemuan separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Pada pertemuan itu, India hanya perlu mencatatkan keputusan seri dengan pasukan tuan rumah manakala Malaysia perlu menang untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir menentang Australia esok.

Dengan kemenangan itu, Malaysia mengutip lapan mata daripada dua kemenangan dan dua catatan seri untuk menempah pertemuan dengan juara remaja dunia, Australia.

India, yang mendapat tempat ketiga pada kedudukan keseluruhan dengan tujuh mata, akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Pada babak pertama, Malaysia yang diketuai oleh Chua Boon Huat bermain agak berhati-hati dengan beberapa percubaan yang gagal disempurnakan oleh jentera penyerang negara.

Beberapa pukulan sudut penalti yang diberikan kepada skuad negara juga menemui jalan buntu selepas barisan pertahanan India terlalu kebal untuk dibolosi.

Sehingga wisel separuh masa dibunyikan, kedua-dua pasukan tidak berjaya menjaringkan sebarang gol.

Pada separuh masa kedua, Malaysia bermula garang dengan melakukan serangan bertubi-tubi ke gawang gol India.

Pada minit ke-53, Boon Huat berjaya memecahkan kebuntuan untuk menjaringkan gol pertama Malaysia selepas bertindak bijak menyudahkan pukulan sudut penalti selepas menerima umpanan daripada Azlan Misron untuk menewaskan penjaga gol India Suraj Kanta Singh.

Bagaimanapun, India seterusnya mengatur strategi dan memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan selepas memperoleh pukulan sudut penalti pada minit ke-61.

Prabodh Tirkey menyempurnakan pukulan untuk menenangkan kem India.

Tetapi pemain-pemain negara tidak rela dikalahkan di hadapan penonton mereka mengasak gawang gol India dengan beberapa percubaan berbahaya.

Nor Azlan Rahim muncul wira Malaysia pada minit ke-70 selepas berjaya menyudahkan peluang di hadapan mata dengan melakukan flick selepas memperoleh hantaran daripada Boon Huat untuk mendapat gol kedua negara dan sekali gus melayakkan Malaysia ke perlawanan akhir.

Jurulatih skuad remaja negara, Yahya Atan berkata, ini adalah kemenangan pertama Malaysia ke atas India sejak 1992.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Korea Selatan berjaya menumpaskan England dengan 6-1.

Dengan kemenangan ini, Korea akan bertemu India dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
SMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bk2Cy8iB

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan