Isnin, 20 Mac 2017

Fairuz dalam skuad Piala Dunia


 

ARKIB : 09/02/2002
ANGGOTA Jawatankuasa Pemilihan PHM termasuk P. Alagendra (tiga dari kanan), R. Yogeswaran (berdiri) dan Paul Lissek (kiri sekali) berbincang buat kali terakhir sebelum pengumuman senarai akhir pemain negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. - Gambar SHAMSUL ARIFFIN CHE OMAR.

MOHD. FAIRUZ RAMLI akan membuat penampilan sulungnya pada Piala Dunia apabila memperkukuhkan barisan serangan Malaysia pada kejohanan edisi ke-10 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, 24 Februari hingga 3 Mac ini.

Pemain yang hanya memiliki 29 cap itu, memberi persembahan cemerlang pada Kejohanan Enam Negara bulan lalu untuk merebut tempat dalam senarai terakhir 18 pemain ke Piala Dunia 2002.

Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tan Sri P. Alagendra yang mengumumkan senarai akhir itu berkata, mesyuarat pemilihan yang dipengerusikan presiden, Sultan Azlan Shah semalam, memutuskan gandingan pemain berpengalaman dan barisan muda.

``Tiga pemain memiliki lebih 200 cap, sembilan lagi dengan 100 lebih cap, manakala dua pemain kurang 50 cap.

``Malah ada pemain yang hanya memiliki 18 cap (Tajol Rosli Mohamed) dipilih dan inilah hasil usaha mencungkil bakat serta persembahan cemerlangnya,'' katanya.

Pemain yang baru sembuh daripada kecederaan, S. Kuhan dan Nor Azlan Bakar yang masih menjalani rawatan, seperti yang diramalkan turut menyertai senarai akhir itu.

Begitupun, kata Alagendra, masih ada ruang untuk pertukaran terakhir pemain pada mesyuarat pengurus-pengurus pasukan Piala Dunia sehari sebelum kejohanan bermula.

``Jika ada yang mengalami kecederaan atau kehilangan rentak, maka pemain tersebut akan digantikan.

``Skuad negara akan diketuai oleh Mirnawan Nawawi manakala Maninderjit Singht dilantik selaku naib ketua pasukan,'' katanya.

Penjelasan Alagendra bermakna, tiga pemain, S. Kumar (penjaga gol), Mohd. Amin Rahim (pertahanan) dan Azlan Misron (pemain tengah) yang diletakkan sebagai simpanan masih berpeluang merebut tempat.

Pengurus skuad negara, Datuk R. Yogeswaran pula berkata, beliau memandang serius cadangan bernas media untuk memperbaiki kelemahan pasukan itu.

``Saya yakin pada kejohanan itu, para pemain mampu mengubah kelemahan kepada kekuatan. Pemain beraksi bukan untuk diri sendiri, tetapi juga buat keluarga dan negara.

``Mereka mahu memenangi Piala Dunia, jadi marilah bersama berfikir secara positif untuk kejayaan Malaysia,'' katanya.

Ketua jurulatih, Paul Lissek yang turut mengulas senarai akhir itu berkata, Mohd. Fairuz mempamerkan aksi terbaik pada Kejohanan Enam Negara lalu.

``Saya tidak berminat untuk terlalu memuji persembahan Mohd. Fairuz kerana Piala Dunia adalah kejohanan paling sukar.

``Saya boleh bermimpi dan berfikir tentang kejayaan Piala Dunia, saya percaya pemain juga begitu dan mereka tetap berpeluang sekiranya memberi aksi terbaik.

``Saya sudah berada di sini selama 11 bulan dan saya tidak fikir memburu kemenangan Piala Dunia sekadar impian,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4brsOCQbI

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan