Selasa, 21 Mac 2017

Kita hanya duduki tempat ke-8



ARKIB : 09/03/2002
 
MARK Pearn diberi ucapan tahniah oleh rakan-rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan England ketika menentang Malaysia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam. England menduduki tangga ketujuh Piala Dunia dengan mengalahkan Malaysia 3-2. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

JARINGAN Mark Pearn tiga minit sebelum tamat masa permainan menamatkan cabaran skuad negara di tempat kelapan setelah tunduk 3-2 kepada England pada perlawanan penentuan tempat ke-7/8 Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kekalahan anak buah Paul Lissek itu tidak sepatutnya muncul daripada perlawanan yang pada awalnya dikuasai oleh mereka.

Malaysia mendahului 1-0 menerusi percubaan cantik pemain pertahanan, Chua Boon Huat pada minit ke-15 yang merembat kencang setelah menerima umpanan Jiwa Mohan dari sebelah kanan.

Chua, yang lebih banyak beraksi di bahagian tengah semalam, mendapat peluang kedua setelah memintas hantaran Jon Wyatt tetapi kayunya tidak tepat mengenai bola ketika cuma perlu menewaskan penjaga gol, Simon Mason.

England, yang sebelum ini tumpas 2-1 kepada Malaysia pada saingan peringkat kumpulan, menyaksikan beberapa percubaan bahayanya digagalkan oleh penjaga gol Malaysia, Roslan Jamaluddin.

Pertahanan negara lambat turun untuk menyekat serangan balas England pada minit ke-31. Danny Hall tidak mensia-siakan umpanan pemain gantian, Guy Fordham untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Tiga minit selepas rehat menyaksikan England pula di depan, sekali lagi menerusi Hall yang merembat kencang pukulan sudut penalti.

Ketua pasukan negara, Mirnawan Nawawi kemudian mencipta ruang untuk gol kedua dan penyamaan apabila membuat larian dari kiri sebelum melorongkan bola kepada penyerang muda, Tajol Rosli Mohamed.

Bola kemudian beralih ke dalam kawalan Chairil yang terus melepaskan rembatan deras selepas menggelecek dua pemain di depan gol pada minit ke-43.

Namun, England mendapat pula pukulan percuma di sebelah kiri gawang yang dirembat kencang oleh Tom Bertram. Bola meleret laju melintasi Roslan dan tepat kepada Pearn yang menunggu di tiang kanan pintu gol untuk mudah menolak masuk gol kemenangan pada minit ke-67 tanpa dihadang oleh mana-mana pemain Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bxfOXHsz© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan