Selasa, 21 Mac 2017

Seri belum memadai



ARKIB : 18/02/2002
PEMAIN Malaysia, S. Kuhan cuba melarikan bola daripada kepungan dua pemain New Zealand sewaktu perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam. Malaysia dan New Zealand seri 2-2. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.

MALAYSIA sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan New Zealand semalam, yang memberi petunjuk bahawa masih berbaki sedikit kelemahan yang perlu dibaiki dalam skuad bimbingan Paul Lissek.

Dua penyerang regular, Mirnawan Nawawi dan Chairil Anwar Aziz menjaringkan dua gol skuad negara, masing-masing satu pada setiap babak.

Bagaimanapun, keputusan seri dalam perlawanan persahabatan itu sekurang-kurangnya memberi sedikit suntikan moral menjelang kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung enam hari sahaja lagi.

Apatah lagi perlawanan semalam berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil yang akan menjadi gelanggang pertarungan kejohanan kali ke-10 itu.

Pada Piala Dunia dari 24 Februari hingga 9 Mac ini, New Zealand diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama Juara bertahan, Belanda, naib juara, Sepanyol, Belgium, Jerman, Argentina, Pakistan dan Afrika Selatan.

Malaysia pula akan beraksi dalam kumpulan B bersama-sama Cuba, Korea Selatan, England, Poland, Jepun, Australia dan India pada kempen pusingan awal.

New Zealand dan Malaysia jelas mengambil serius perlawanan itu, sekali gus kedua-dua pasukan mendapat faedah untuk mengenal pasti kelemahan masing-masing.

Penolong jurulatih negara, Stephen van Huizen bagaimanapun menjelaskan bahawa skuad negara tidak menyerlahkan keseluruhan strategi permainan.

``Kita mencuba beberapa taktik tetapi tidak semuanya kita keluarkan pada perlawanan hari ini (semalam), kata van Huizen selepas perlawanan.

Senjata penting dalam permainan hoki, iaitu set piece pukulan sudut penalti terbaru juga tidak dipraktikkan dalam perlawanan itu yang van Huizen akui sengaja disorokkan.

``Kita tidak keluarkan semuanya, sebahagiannya kita simpan untuk perlawanan sebenar nanti, termasuklah set piece pukulan sudut penalti,'' katanya.

Secara keseluruhannya, perlawanan dengan skuad Kiwi itu memberi kepuasan tersendiri kepada van Huizen.

``New Zealand ialah lawan yang bagus, bermakna kita telah mendapat ujian yang baik hari ini.

``Kita perlu mempertajamkan bahagian serangan tetapi dua gol yang diperoleh itu sangat memuaskan hati,'' ujarnya.

Menurutnya, bahagian pertahanan yang nampak lemah semalam adalah disebabkan Chua Boon Huat belum begitu cergas. Dia baru sahaja pulih dari demam manakala R. Shankar pula tidak diturunkan langsung akibat kecederaan belakang.

Hari ini, skuad negara akan mendapat latihan lebih keras apabila berdepan bekas juara dunia tiga kali, Pakistan di tempat yang sama hari ini sebelum bertemu naib juara, Sepanyol esok.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bwa3v8JS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan